Jumaat, 4 Disember 2015

KEPUTUSAN YANG SUDAH BOLEH DIJANGKA

shahbudindotcom

 

 
 
 
Walaupun UMNO akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Disember  untuk menentukan sama ada Timbalan Presidennya, Muhyiddin dibenarkan berucap atau tidak pada majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, keputusannya tentulah sudah boleh dijangka oleh sesiapa saja.

Keputusannya tidak lain ialah mustahil  Muhyiddin akan dibenarkan menyampaikan ucapan penggulungannya, kecualilah jika semua ahli MT  sudah "tidak waras" lagi pemikirannya pada malam mesyuarat itu diadakan.

Selagi ahli-ahli MT kekal waras dan dapat membezakan antara syiling 10 sen dengan wang kertas RM100, tidak masuk akal sama sekali untuk mereka memihak kepada Muhyiddin yang tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa berbanding Najib yang hampir mempunyai segala-galanya sebagai alat memenuhi nafsu, keinginan serta kehendak.

Lagi pula, jika  berucap merasmikan perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang kehadirannya hanya sekitar  2,000 perwakilan pun sudah dihalang, tentulah untuk ucapan penggulungan dalam majlis penutup yang kehadiran perwakilan melebihi 5,000 orang, lebih tinggi lagi keghairahan Najib Razak untuk menghalang suara Muhyiddin.

Oleh itu, Muhyiddin dan mereka yang masih rasional janganlah meletak harapan yang terlalu tinggi atau menjangkakan keputusan yang berbeza terhadap  MT UMNO pada mesyuaratnya 9 Disember itu. 

Keputusan buat pertama kali menjadikan sebagai agenda perbincangan dalam mesyuarat MT sama ada Muhyiddin perlu berucap atau tidak  saja pun sebenarnya sudah membuktikan UMNO telah hilang kerasionalannya.

Apatah lagi, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sudah berulang kali menekankan pendiriannya bahawa hanya Presiden seorang saja yang seharusnya berucap di majlis penggulungan itu.

Dengan berbuat demikian, Ku Nan secara halusnya sedang memberitahu ahli-ahli MT UMNO supaya turut bersetuju dengan pendiriannya itu yang dipercayai dapat melindungi lagi kedudukan Najib daripada sebarang kemungkinan.

Pernahkah kita dengar sebelum ini sama ada Timbalan Presiden UMNO perlu berucap atau tidak dalam ucapan penggulungan menjadi agenda mana-mana mesyuarat MT?

Bukankah ia suatu tradisi dan konvensyen yang sudah diterima pakai dalam UMNO sejak sekian lama? 

Berbalah, berkelahi, berlawan dan berebut kuasa adalah perkara biasa dalam UMNO, tetapi pernahkah juga ada mana-mana Presiden UMNO sebelum ini yang begitu penakut sehingga mahu membakulsampahkan semua tradisi dan konvensyen itu?

Sejak sekian lama, ucapan  pemimpin mengikut hireaki di majlis penutup Perhimpunan Agung UMNO telah  menjadi tradisi, tarikan serta juga kekuatan resepi perjuangannya untuk menambat hati rakyat.

Ramai yang menunggu-nunggu ucapan penggulungan setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, bukan saja untuk mendengar ucapan dan menilai kemampuan pemimpin menonjolkan bakat mereka, bahkan juga untuk mengetahui jika ada sebarang pengumuman penting yang melibatkan rakyat melaluinya.

Apabila tiada lagi ucapan daripada lain-lain pemimpin di majlis penggulungan, kecuali hanya Najib yang diketahui sarat dengan isu dan masalah saja yang dibenarkan berucap, keadaannya tidak lebih umpama peniaga yang terus juga mahu "menjual barang yang tidak berapa laku lagi untuk dipasarkan."

Akhirnya, jika Najib seorang saja yang dibenarkan berucap, UMNO lebih berpotensi menjadi semakin tidak bernilai di mata rakyat.


Tiada ulasan: