Rabu, 2 Disember 2015

'Kenapa kami dilarang cakap demi kepentingan Umno'



'Kenapa kami dilarang cakap demi kepentingan Umno'
Kelihatan sekumpulan ahli Umno hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memberi sokongan kepada sembilan ketua cawangan Umno yang dipanggil Lembaga Disiplin Parti, hari ini. - Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - "Kami tak rasa kami boleh digugurkan kerana kami bercakap perkara benar," demikian reaksi Ketua Cawangan Taman TKK, Teluk Kemang, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Menurutnya, sekiranya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh bercakap perkara-perkara yang dirasakan benar, mengapa pihaknya tidak dibenarkan.

"Mengapa ahli seperti kami tidak boleh bercakap untuk kepentingan Umno.

"Kita akan tetap dengan pendirian bahawa kita mahukan perubahan Umno bagi menyelamatkan Umno bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya ketika ditemui di Lobi Menara Datuk Onn, hari ini.

Kamarul Azman mendakwa, banyak perkara dilakukan oleh ketua bahagian tidak mendapat persetujuan dua pertiga daripada cawangan.

"Suara kami tidak pernah diminta oleh ketua-ketua bahagian untuk membuat sebarang resolusi atau keputusan.

"Kalau ketua bahagian boleh membuat keputusan tanpa persetujuan ahli, kenapa seperti kami daripada  cawangan perlu mendapat sokongan dua pertiga. Kami rasa kami mendapat sokongan padu dari ahli-ahli kami," katanya.

Katanya, beliau bersama lapan lagi ketua cawangan akan terus dengan perjuangan mendesak Najib melepaskan jawatan.

"Kita tidak akan merayu dan akan terus dengan perjuangan kita mahu presiden melepaskan jawatan supaya orang akan mengemudi Umno dalam menghadapi pilihan raya dan Umno tidak terkubur.

"Kita pasti bahawa masyarakat tidak akan mengundi BN sekiranya kepimpinan yang ada diteruskan," katanya.

Kesemua sembilan Ketua Cawangan Umno dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Parti kerana mendesak Najib melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno.

Tiada ulasan: