Sabtu, 12 Disember 2015

[KEMASKINI] 'Kami tidak bergaduh, kenapa perlu minta maaf pada Najib?' - Shafie Apdal

 Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal mempersoalkan keperluan untuk beliau meminta maaf dan berdamai dengan presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
 
Ujarnya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak pernah bergaduh dengan Najib sebelum ini melainkan hanya memberikan pandangan serta teguran untuk menyelesaikan isu berbangkit.
  
"(Datuk Seri) Najib adalah kawan saya, dia seperti abang, tidak ada masalah di sini. Saya hanya bangkitkan isu yang penting. 
 
"Tidak gaduh. Kita tidak gaduh. Yang penting adalah untuk menyelesaikan masalah, 1MDB (1Malaysia Development Berhad), keyakinan rakyat... TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik), ini isunya.
 
"Ada yang mahu kami meminta maaf kepada Najib, kenapa perlu saya minta maaf? Apa yang saya buat? Dengan hanya memberikan pandangan (perlu minta maaf?)," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan di laman media, sebentar tadi.
 
Malah katanya, apa yang lebih penting pada masa ini adalah menyelesaikan pelbagai isu berbangkit yang menjadi tanda tanya kepada rakyat, khusunya 1MDB dan TPPA.
 
Shafie dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini kerap melontarkan pandangan secara terbuka terhadap kepimpinan Najib. 
 
Kedua-duanya digugurkan daripada barisan kabinet pada Julai ekoran kerap membangkitkan isu berkenaan, dan memperhebat kritikan selepas tidak lagi mempunyai jawatan dalam kerajaan.
 
Semalam, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata masih ada ruang untuk Muhyiddin dan Shafie memohon maaf di atas keterlanjuran mereka demi memperkukuhkan parti.
 
Bagaimanapun ujar Hishammuddin, terpulang kepada Muhyiddin dan Shafie untuk memohon maaf bagi merapatkan semula barisan kepimpinan tertinggi Umno seperti yang disarankan perwakilan. 


Tiada ulasan: