Ahad, 6 Disember 2015

Keluarga nafi mangsa ditembak kerana hutang


 
Keluarga nafi mangsa ditembak kerana hutang
Ah Lee ketika menceritakan insiden membabitkan abangnya. - Foto Sinar Harian


ALOR SETAR - Keluarga ahli perniagaan hartanah Malaysia yang mati ditembak di Hatyai, Songkhla nafi mangsa dibunuh akibat berhutang RM4.11 juta (35 juta baht).

Adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Lee, 50, mendakwa, rumusan kes yang dibuat polis negara jiran itu berhubung kejadian itu adalah tidak benar.

Beliau berkata, sebelum ini, polis Thailand mendakwa motif pembunuhan abangnya kerana perselisihan faham dalam perniagaan melibatkan hutang RM4.11 juta kepada seorang ahli perniagaan lain dari negara ini juga.

“Ia tidak benar kerana abang saya tidak pernah berhutang dengan orang, malah dia yang memberi pinjaman kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Lee Ah Han, 54 atau lebih dikenali sebagai Ali Baba,  ditembak mati dalam sebuah Mercedec Ben S300 ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Songkhla bersama isterinya, Mayuree Thipmani, 42.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dibunuh kerana hutang RM4.11 juta]

Ketua Polis Mukim Thunglung, Kolonel Polis Wichapan Chantaraporn berkata, penembak yang berada dalam sebuah kereta lain menggunakan senapang M16 untuk melepaskan berpuluh tembakan ke arah kereta mangsa.

Sementara itu, menurut Ah Lee, pendedahan polis negara jiran itu kononnya mangsa mempunyai masalah hutang yang dibayar menggunakan cek tendang dan dilanjutkan selama enam bulan juga tidak benar.

“Saya minta polis negara itu tunjuk bukti kepada kami jika benar ada cek tendang. Kita nak tengok cek itu.

“Kita dapati beberapa maklumat yang diberikan tidak benar termasuk isteri mangsa yang dikatakan sebagai teman wanita dan bermacam andaian tidak betul,” katanya.

Beliau berkata, pasangan yang mempunyai dua cahaya mata itu berpindah ke Bangkok kira-kira dua tahun lalu kerana mempunyai hartanah di sana.

“Dalam masyarakan Cina, kita percaya bahawa tidak elok hebahkan sesuatu yang berkaitan dengan si mati.

“Saya sekadar bagi penjelasan dan minta polis negara itu buat siasatan terperinci serta tunjukkan bukti dakwaan itu,” katanya.


Tiada ulasan: