Selasa, 15 Disember 2015

KEINGINAN BEKERJASAMA DENGAN PAS MENUNJUKKAN UMNO BENAR2 LEMAH

shahbudindotcom


 
 
 
Walaupun dikata macam-macam seperti sedang tersepit, hanya ingin berbaik ketika terdesak malah sehingga diumpamakan "biawak hidup" sekali pun, tetapi nampaknya UMNO tidak kisah dan begitu teringin untuk berbaik dan bekerjama dengan Pas.

Tidak cukup dengan Najib Razak melontarkan pelawaan untuk berbaik itu ketika Perhimpunan Agung UMNO berlangsung baru-baru ini yang menunjukkan kesungguhan dan seolah-olah meminta restu para perwakilan, bahkan Mustapha Mohamad kemudian tampil seakan mengesahkan kemungkinan hubungan yang lebih rasmi terjalin berikutan kerjasama itu dakwanya,  sudah pun terjalin sejak dua tahun lalu lagi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu menjustifikasikan hubungan UMNO dan Pas itu sudah wujud melalui kerjasama "G to G" antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan dalam beberapa aspek kebelakangan ini dan kekerapannya menjejakkan kaki ke Kota Darul Naim, sesuatu yang didakwanya tidak berlaku sebelum Ahmad Yaakob menjadi Menteri Besar.

Sebenarnya, apakah yang boleh difahami daripada kesungguhan UMNO itu?

Ia tidak lain menunjukkan UMNO dalam menuju PRU 14 akan datang benar-benar dalam keadaan lemah dan tidak cukup kekuatan untuk menggapai kemenangan bersama-sama rakan komponen BN yang ada.

Di sebalik isu 1MDB dan derma politik yang diterima Najib, UMNO akhirnya secara tidak langsung mengakui sokongan pengundi Melayu makin terhakis terhadapnya.

Dengan pengundi bukan Melayu tidak lagi menjadi harapan dan pengundi Melayu pula disedari makin menjauhinya, satu-satunya sandaran UMNO untuk mengekalkan kuasanya ialah dengan pertolongan Pas.

Sejak bila UMNO mahu berbaik dan menjalin kerjasama dengan sesiapa ketika ia dalam keadaan kuat dan stabil?

Jika UMNO kuat dan gagah, apakah ia mahu berbaik dengan Pas, waima kononnya untuk kepentingan Melayu dan Islam sekali pun?

Persoalan kedua pula, bolehkah kerjasama UMNO dan Pas itu dijalin dalam masa terdekat dan sebelum pilihanraya ini?

Barangkali sukar untuk melihat kerjasama itu terjalin dalam waktu yang terdekat ini, tetapi kesediaan Pas untuk berbaik-baik dan saling berdekat dengannya serta dalam masa yang sama semakin menjauhi Pakatan Harapan, ia dianggap sudah memadai bagi UMNO.

UMNO tidak perlu hubungan yang formal dengan Pas sebelum PRU 14 kerana ia juga perlu menjaga perasaan rakan-rakan bukan Melayu yang bersama dengannya.

Apa yang diharapkan oleh UMNO ialah Pas terus berbalah dengan parti-parti pembangkang lain dan akhirnya berlaku pertandingan tiga penjuru di banyak kawasan pilihanraya yang mana keadaan itu secara langsung akan memberi kelebihan kepadanya memenangi lebih banyak kerusi.

Dalam masa yang sama UMNO juga meyakini banyak kawasan tradisi akan kekal dalam genggaman Pas melalui pertembungan tiga penjuru itu.

Ketika pilihanraya berlangsung pula, dengan kekuatan sumber kewangan yang UMNO miliki, malah mungkin ada lagi Tok Arab yang sudi menghulurkan lebih banyak derma, tidak mustahil bantuan "cash is king" juga akan dihulurkan kepada Pas.

Tujuannya tidak lain ialah agar Pas melihat UMNO sebagai rakan kerjasama yang baik hati, pemurah dan sedia membantu meskipun tiada kerjasama yang rasmi dijalinkan.

Jika UMNO bersama BN cukup jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan, maka hubungan itu akan berakhir dan Pas akan ditinggalkan begitu saja. Tetapi bantuan Pas tentunya amat diperlukan sekiranya UMNO tidak cukup jumlah kerusi untuk mengekalkan kerajaannya.

Hakikatnya, kerjasama sebenar yang diharapkan oleh UMNO daripada Pas ialah selepas PRU 14 nanti, itu pun jika jumlah kerusi yang dimenanginya tidak cukup untuk terus mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri.

Makanya, sementara menjelang PRU 14 kira-kira dua tahun lagi, ada baiknya Pas mengambil kesempatan yang ada dengan segera menuntut hak royalti minyak untuk Kelantan yang sudah dinafikan oleh UMNO sejak sekian lama.


Tiada ulasan: