Isnin, 14 Disember 2015

Kebolehpasaran Pelatih Giat Mara Capai 84 Peratus

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kebolehpasaran pelatih Giat Mara dalam  pasaran kerja kini mencapai tahap 84 peratus, kata Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata sasaran 100 peratus kebolehpasaran pelatih dijangka dapat  dicapai tidak lama lagi melalui pelbagai program dan latihan yang dilaksanakan ketika ini.

"Peruntukan sebanyak RM3.4 juta yang diterima kementerian sebelum ini akan digunakan untuk proses pemerkasaan Giat Mara dan melahirkan pelatih yang mampu bersaing di pasaran kerja terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Salim Sharif yang ingin tahu kebolehpasaran kerja berimpak tinggi yang dihasilkan Giat Mara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Ahmad Jazlan berkata usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan bukan hanya melibatkan institusi latihan Giat Mara, malah ia menuntut penyertaan agensi dan kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan.

Menjawab soalan asal Senator Shahanim Mohamad Yusoff, Ahmad Jazlan berkata bagi memperkasakan Giat Mara, beberapa tindakan strategik dirancang dan laksana antaranya peningkatan tahap persijilan.

Beliau seterusnya berkata Giat Mara ketika ini menawarkan 39 kursus di bawah 12 kluster antaranya mekanikal, seni bina pembuatan, percetakan, elektrik , fabrik dan kulinari di 231 Pusat Giat Mara di seluruh negara.

Kira-kira 20,000 peserta terlatih dilahirkan setiap tahun.

Beliau berkata Giat Mara juga berusaha mewujudkan bidang baharu yang dilihat diperlukan dalam pasaran kerja.

Tiada ulasan: