Jumaat, 18 Disember 2015

KDNK Malaysia pada 2016 dijangka merosot

 
Laporan itu turut mencadangkan kerajaan agar memberi tumpuan kepada tenaga kerja pekerja asing kerana peningkatan sebanyak 10 peratus pekerja berkemahiran rendah boleh meningkatkan KDNK sehingga 1.1 peratus.


\bank-dunia-malaysia


PETALING JAYA: Bank Dunia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan merosot kepada 4.5 peratus pada 2016 daripada 4.7 peratus pada tahun ini (2015).

Unjuran itu kesan daripada kelembapan permintaan dalam negara sepanjang 2015 akibat keadaan fiskal yang sukar.

“Secara keseluruhan, permintaan dalam negeri dijangka berkembang dan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam konteks permintaan global rendah,” menurut Bank Dunia, memetik Laporan Malaysian Economic Monitor edisi Disember.

Laporan itu turut mencadangkan kerajaan agar memberi tumpuan kepada tenaga kerja pekerja asing kerana peningkatan sebanyak 10 peratus pekerja berkemahiran rendah boleh meningkatkan KDNK sehingga 1.1 peratus.

Buat masa ini, dianggarkan terdapat kira-kira 2.1 juta pendatang asing yang berdaftar di Malaysia tidak termasuk lebih satu juta orang pendatang tanpa izin.

Pengarah Bank Dunia bagi rantau Asia Tenggara, Ulrich Zachau berkata, dasar dan pengurusan imigresen perlu diperkukuhkan supaya kemahiran pekerja asing dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Buruh asing berpotensi membawa kemahiran kritikal yang diperlukan dan membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi,” katanya, lapor Channel News Asia.

Dalam pada itu, peningkatan jumlah pekerja buruh asing di negara ini juga dijangka membawa kesan kepada pekerja asing sedia ada kerana ia akan menyebabkan penurunan kadar gaji sehingga empat peratus, manakala gaji bagi rakyat Malaysia yang berpendidikan rendah turun sekitar tiga suku peratus.

Ekoran pertumbuhan perlahan dan kejatuhan harga hasil minyak, tumpuan yang lebih kepada kualiti perbelanjaan awam akan menjadi keutamaan kerajaan Malaysia.

Tiada ulasan: