Rabu, 16 Disember 2015

Kampung Selut bakal lenyap?


Kampung Selut
Kampung Selut di Sungai Pinang dikatakan akan dimajukan semula.


GEORGETOWN - Lebih 5,000 penduduk Kampung Selut, Sungai Pinang di sini berhadapan dengan risiko kehilangan tempat tinggal apabila kawasan berkenaan dikatakan akan dibangunkan semula oleh pemaju swasta.

Kampung yang majoritinya dihuni penduduk Melayu itu sejak 1960-an bakal dimajukan sebagai pembangunan bercampur kerana kedudukannya begitu strategik dan berhampiran dengan pusat bandar raya.

Desas desus mengenai pembangunan di kawasan berkenaan mula tersebar apabila penduduk kampung sebelum ini dikatakan menerima surat kaji selidik dari pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Jun lalu yang antara lain ingin tahu sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan pembangunan dilaksanakan di situ.

Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Pinang, Ibrahim Din berkata, kampung yang terletak di atas tanah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini mempunyai 204 unit rumah teres termasuk 102 rumah jenis sebuah.

Beliau berkata, sejak penduduk menerima borang kaji selidik itu pelbagai andaian mula bermain di fikiran penduduk termasuk kemungkinan mereka akan diusir untuk memberi laluan kepada pembangunan yang bakal dijalankan.

Menurutnya, penduduk sebelum ini membayar sewa bulanan kepada MBPP pernah menyuarakan hasrat untuk membeli rumah berkenaan namun tidak berjaya.

"Sebelum ini tanah di Kampung Selut dimiliki seorang individu namun diberi kepada PBT sebagai pengendali sementara (care taker) untuk pembinaan rumah dan disewakan kepada orang Melayu yang tidak berkemampuan membelinya.

"Walaupun beberapa kali penduduk meminta untuk membelinya namun hanya pemilik rumah sebuah-sebuah yang dapat membelinya. Penyewa rumah teres masih  menyewa dengan kadar RM70 sebulan," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, penduduk pernah mengemukakan bantahan untuk pembangunan di kampung berkenaan malah pihaknya pernah menghantar surat menolak pembangunan yang akan dilakukan di situ.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Jelutong Abdul Razak Abdul Rahaman yang turut menetap di kampung berkenaan melahirkan kebimbangan akan diusir jika benar pembangunan semula akan diadakan.

Beliau berkata, sebelum kerajaan negeri PR mengambil alih pemerintahan, MPPP pada ketika itu meluluskan pembelian rumah teres tetapi ketika urusan jual beli itu dilakukan kerajaan negeri pimpinan BN kalah pada pilihan raya umum 2008.

"Selepas itu proses untuk tuntutan jual beli terhenti dan penduduk cuba berjumpa MBPP bagi berbincang tetapi tiada jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program kembali ke sekolah di sini semalam.

Tiada ulasan: