Selasa, 22 Disember 2015

'Kami Akur Majlis Fatwa, tapi rokok juga haram'


Shakira Buang


 


Dewan Perniagaan Vape Malaysia akur dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram, kata Setiausahanya Ridwan Rosli.

“Sebagai seorang Islam di Malaysia mestilah akur dengan keputusan Majlis Fatwa.

“Bagaimanapun, ini tidak seharusnya merenjatkan proses kawal selia vape di Malaysia dari segi undang-undang,” katanya kepada Malaysiakini.

Malah, Ridhwan berkata kajian mendalam mengenai undang-undang diperlukan untuk rokok elektronik ini dengan mengambil kira permintaan pengguna dan pada masa sama memastikan keselamatan awam seperti mana yang dilakukan terhadap rokok tembakau sebelum ini.

“Kita sedia maklum bahawa rokok juga haram tetapi pengawal seliaan dari segi undang-undang pembuatan, penjualan, pengedaran dan penggunaan rokok adalah jelas. Harap perkara sama juga untuk vape,” tegas Ridhwan.

Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Abdul Shukor dilaporkan sebagai berkata semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Kata Abdul Shukor, keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.




Tiada ulasan: