Khamis, 31 Disember 2015

Jual Bandar Malaysia, 1MDB kurangkan hutang lagi

1MDB


KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akui mencapai sasaran pelan rasionalisasinya dalam rangka mengurangkan hutang syarikat milik kerajaan itu dalam tempoh enam bulan yang dijanjikan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, ianya tercapai setelah langkah terakhir diambil hari ini dengan penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia kepada konsortium.

"Bagi pelan rasionalisasi ini, kami telah capai apa yang kami sasarkan.

"Dan hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2015 seperti yang dijanjikan, kami telah mencapai 'final piece of puzzle' dengan menjual Bandar Malaysia dengan secara keseluruhannya jumlah pengurangan hutang sehingga RM12.35 bilion ," katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Perjanjian Jual Beli Saham di sini, hari ini.

1MDB menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia bersamaan RM7.41 bilion kepada Konsortium iaitu usahasama antara syarikat milik Kerajaan Negeri Johor dan sebuah syarikat mega dari China.

Konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah perkongsian awam-swasta antara Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Sebelum ini, 1MDB telah menjual semua asetnya terhadap Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) untuk RM9.83 bilion.

CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.

Selain penjualan ekuiti dalam syarikat tenaga Edra, pelan rasionalisasi 1MDB termasuk pelaksanaan pertukaran hutang dengan ekuiti, dengan syarikat pelaburan petroleum dari Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak kira-kira RM16 bilion.


Tiada ulasan: