YALA,  Seorang pegawai risikan terkorban, manakala bapanya cedera parah, apabila bom yang ditanam di dalam kubur ibu mangsa meletup ketika dua beranak itu membaca surah Yasin di kubur yang terletak di Kampung Bo Jet Look, daerah Muang Yala, hari ini.


Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kesan letupan kuat itu menyebabkan jasad ibu mangsa terkeluar dari liang kubur yang dikebumikan tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Muang Yala, Kolonel Polis Kerisda Keawjandi berkata, bom seberat 10 kilogram itu dipercayai ditanam kumpulan pemisah, Rakib Dollah yang menyasarkan mangsa, seorang anggota renjer di daerah berkenaan.

Beliau berkata, mangsa, Sheik Chedomad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya, Aziz Chedomad cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pusat Wilayah Yala.

Bagaimanapun, umur dua beranak itu tidak diketahui.

Dalam pada itu, Ketua Pejabat Daerah Muang Yala, Konsakul Chanraj, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan melampau hingga penduduk kampung juga terkesan dan amat sedih, kerana pelaku sanggup bertindak kejam.