Khamis, 17 Disember 2015

Jangan sampai macam Asia Barat


Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - [VIDEO] Presiden Pas, Datuk Dr Abdul Hadi Awang berharap agar Malaysia terus terpelihara‎ dan terhindar daripada segala kerosakkan sepertimana yang berlaku di Asia Barat.

Katanya, oleh itu beliau berharap agar umat Islam di sini terus kekal bersatu dan menghindari pertelingkahan sesama mereka.

"Jangan rantau kita ini (Asia Tenggara) jadi macam rantau Asia Barat (perang proksi) sekaligus memusnahkan entiti perpaduan yang diharapkan.

"Apatah lagi umat Islamlah yang akan menjadi mangsa, orang lain hanya ingin mempergunakan kita dan melaga-lagakan umat Islam demi mencapai matlamat mereka," katanya ketika Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di Hotel Grand Seasons di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, seluruh dunia kini menyaksikan tanda-tanda kemusnahan tamadun barat dan tempiasnya juga menimpa umat Islam.

"Ternyata kegagalan agama dan ideologi selain daripada Islam, mencetus krisis akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan di seluruh dunia.

"Maka, sewajarnya Islam perlu kembali ke landasan dan meletakkan kepimpinan berlandaskan agama ALLAH SWT ini sebagai pegangan dan pimpinan kita di dunia dan menuju akhirat nanti," katanya.


Tiada ulasan: