Rabu, 16 Disember 2015

'Jangan ganggu apa yang Dewan Negara hendak bahas'

SINAR HARIAN



UALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menempelak Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S Ambiga kerana sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan di bangunan Parlimen tanpa kebenarannya semalam untuk satu taklimat.

Beliau berkata pertemuan yang diadakan Ambiga itu telah menjejaskan perjalanan sidang Dewan Negara dan telah mengarahkan pegawai Parlimen yang membenarkan Ambiga mengadakan program taklimat berkaitan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu, untuk memberikan surat tunjuk sebab.

"Apa-apa perjumpaan semasa sidang Dewan Negara berlangsung mesti ada kebenaran daripada saya, kalau ingin guna kemudahan mesti ada kelulusan saya, dalam hal ini, taklimat itu tidak ada kelulusan dan tidak sepatutnya dibenarkan.

"Kalau ingin bercakap mengenai politik, bercakaplah di luar Dewan, jangan ganggu Dewan saya. Saya ada panggil Senator Siti Aishah Shaik Ismail (yang berada dalam taklimat dengan Ambiga).

"Dan dia (Aishah) pun meminta maaf. Saya minta (Ambiga) jangan mengelirukan masyarakat dan keluarkan kenyataan yang salah," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Abu Zahar mengulas kenyataan Ambiga dalam satu laporan portal yang mendakwa, tiada seorang pun Senator daripada BN dalam taklimat yang diadakan pihaknya di bangunan Parlimen itu menandakan kesemua anggota Dewan Negara berkenaan takut berdepan dengan rakyat berhubung rang undang-undang MKN.

Menjawab tuduhan Ambiga itu, Abu Zahar berkata :

"Jangan ganggu apa yang Dewan Negara hendak bahaskan, kita tahu apa hendak dibuat, jangan letak dalam mulut kita untuk apa hendak dibuat, kita bukannya robot, kita adalah orang yang bertanggungjawab," tambahnya.

Tegas Yang Dipertua Dewan Negara itu, beliau tidak berminat untuk berjumpa dengan mana-mana pihak mengenai tajuk yang belum dibahaskan di Dewan Negara khususnya sewaktu persidangan sedang berlangsung.

Beliau menjelaskan pihaknya telah mengambil inisiatif dengan menjemput semua senator termasuk daripada pembangkang untuk menghadiri satu taklimat khas bersama Majlis Keselamatan Negara dua hari lepas, namun tidak semua senator pembangkang yang hadir.

Sementara itu, Presiden Majlis Senator Malaysia Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata pihaknya tidak menerima sebarang undangan berhubung taklimat yang dianjurkan oleh Ambiga itu.

"Yang pertama, kami tidak menerima sebarang jemputan dan yang kedua semua anggota Majlis Senator Malaysia telah menghadiri satu perjumpaan yang telah diatur oleh Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) sejak dua minggu lepas.

"Perjumpaan bersama PR1MA itu adalah berkenaan aktiviti-aktiviti pembinaan rumah mampu milik," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Katanya, senator BN tidak takut untuk berjumpa dengan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau rakyat serta berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada rakyat di negara ini.

Rang Undang-Undang MKN yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember lepas. - Bernama

Tiada ulasan: