Isnin, 14 Disember 2015

Jamil: G25 cuma keliru, tak perlu diharamkan

 
Menteri percaya kumpulan G25 tidak faham konsep diguna pihak berkuasa agama serbu pasangan khalwat.



jamil-khir


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom percaya kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan, G25 tidak faham konsep dan tatacara operasi standard (SOP) tangkapan kes khalwat.

Namun begitu, katanya, perkara itu tidak membawa kepada keperluan untuk mengharamkan perkumpulan itu seperti ajaran sesat.

“Pihak berkuasa bukan mahu serbu kediaman orang pada jam 2 atau 3 pagi sesuka hati.

Jika ada pengadu ialah isteri, suami atau jiran, pihak berkuasa terpaksa serbu kediaman terbabit,” kata Jamil, memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada cadangan supaya fatwa dikeluarkan terhadap G25, iaitu perkumpulan pesara pegawai-pegawai awam kanan, kerana mencadangkan undang-undang menangani isu khalwat dikaji semula.

Pada Ahad, FMT menyiarkan temubual dengan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim yang berpandangan undang-undang berkenaan khalwat tidak jelas dan perlaksanaannya tidak adil kerana hanya menangkap orang kebanyakan.

Jamil berkata pihak kerajaan bersedia memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perlaksanaan undang-undang jenayah syariah, terutama berkaitan SOP yang digunakan sebelum melakukan serbuan terhadap pasangan Islam bukan mahram yang berkhalwat.

Tiada ulasan: