Sabtu, 19 Disember 2015

‘Jambatan penghubung’ PAS teruskan hubungan baik Islam-Kristian



Penganjuran lawatan sekumpulan paderi Katolik ke Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas oleh PAS Pulau Pinang menerima respons baik daripada semua pihak walaupun pada awalnya bimbang akan reaksi negatif masyarakat. – Gambar Facebook, 19 Disember, 2015. 
Penganjuran lawatan sekumpulan paderi Katolik ke Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas oleh PAS Pulau Pinang menerima respons baik daripada semua pihak walaupun pada awalnya bimbang akan reaksi negatif masyarakat. – Gambar Facebook.
 
 
Walaupun PAS kehilangan ramai pemimpin progresif apabila kebanyakan daripada mereka menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), parti Islam itu masih lagi mempunyai Abdul Rahman Kassim yang dikenali sebagai "jambatan penghubung" disebabkan tugasnya memperbaiki hubungan orang Islam dan Kristian di negara ini. 
 
Beliau merupakan individu yang menganjurkan lawatan sekumpulan paderi Katolik ke sebuah masjid di Kepala Batas pada Isnin dan menjangkakan akan menerima kritikan, namun setakat hari ini ia masih belum berlaku.

Pihaknya menjangka menerima komen negatif berkenaan lawatan dianjurkan Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang yang mana dirinya merupakan timbalan pengerusi sebaik sahaja berita itu tersebar.

"Saya sedar ada kenyataan negatif terhadap lawatan itu tetapi respons yang diterima kebanyakannya baik," katanya kepada The Malaysian Insider. Lawatan itu berlangsung di Masjid Abdullah Fahim di Bertam, dan ketua delegasi itu adalah Uskup Pulau Pinang, Sebastian Francis.

Individu lain yang turut menyertainya ialah imam masjid, pemimpin PAS Pulau Pinang dan wakil Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Paderi-paderi itu diberikan lawatan sekitar masjid dan ditunjukkan demonstrasi mengambil wuduk dan bersolat.

Tiada perbincangan topik berat seperti "isu kalimah Allah" atau kontroversi membabitkan seminar anti Kristian dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.

Rahman yang juga ketua perpaduan kebangsaan PAS Tasek Gelugor berkata, lawatan itu umpama membalas kembali kerana parti Islam itu sering mengadakan pertemuan dengan pihak gereja sebelum ini di rumah ibadat tersebut.

Dengan hubungan baik bersama Uskup Sebastian, beliau mencadangkan lawatan ke masjid yang kemudiannya diterima baik.

"Ini adalah lawatan mengukuhkan persahabatan, mempromosikan kefahaman dan hormat-menghormati antara komuniti. Ia juga memberikan peluang menyampaikan ucapan Krismas kepada paderi," katanya.

Rahman, 59, merupakan ahli perniagaan dengan hubungan baik bersama gereja Katolik, dan sahabatnya, Uskup Sebastian turut menghadiri perkahwinan anaknya kira-kira 3 tahun lalu.

Rahman juga merupakan individu di belakang pertemuan antara pemimpin PAS dan gereja. Malah, beliau juga yang mengatur pertemuan antara Uskup Sebastian bersama bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 2 tahun lalu di Pulau Pinang.

Bulan lalu beliau mengaturkan pertemuan antara bekas Ketua Uskup Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam dan Uskup Sebastian bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Rahman juga merupakan individu di sebalik dialog antara agama pemimpin PAS dan Kristian di gereja, walaupun tidak begitu dikenali kerana bukanlah pemegang jawatan tinggi dalam kepimpinan pusat partinya.

Bagaimanapun beliau sentiasa menjadi sebahagian delegasi PAS apabila Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Dzulkefly Ahmad bercakap dalam dialog bersama penganut Kristian.

Kedua-duanya sudah meninggalkan PAS untuk Amanah, namun Rahman meneruskan perjuangannya memupuk keamanan dan keharmonian dengan komuniti agama lain.

Rahman yang mula mendekati gereja 3 tahun lalu mengakui sukar untuk mengadakan lawatan sedemikian kerana tidak semua imam terbuka dengan idea bukan Islam melawat masjid mereka, apatah lagi paderi Katolik.

Beliau berkata, pihaknya turut mendengar rungutan pihak gereja mengatakan bukan Islam dilarang memasuki masjid dan menyebabkan hatinya sakit.

"Di negara Islam seperti Jordan, penganut agama lain dialu-alukan memasuki masjid. Saya nak tunjukkan kita bukan begitu.

"Saya nak tunjukkan kita semua bersaudara. Itu moto saya," katanya, dan menambah ketika zaman Nabi Muhammad, rundingan bersama bukan Islam turut dilakukan di dalam masjid.

Rahman berkata, ramai umat Islam di seluruh dunia melawat St Peter's Basilica di Rome dan seharusnya menjadi perkara biasa bagi bukan Islam melihat masjid yang cantik dan ingin melawatnya.

"Tetapi mereka skeptikal atau tidak pasti jika ada orang yang akan menerima mereka. Saya berharap lawatan paderi Katolik ini akan menjadi permulaannya untuk menunjukkan kita bersikap terbuka.

"Saya berharap keterbukaan ini akan merebak ke seluruh negara, kita perlu saling hormat-menghormati, jika kita mahu dihormati," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang, Amir Hamzah Abdul Hashim berkata jawatankuasa itu sedia menerima permintaan komuniti lain untuk melawat masjid.

Paderi Gereja St Anne's Bukit Mertajam Father Henry Rajoo, yang merupakan sebahagian daripada delegasi lawatan ke Masjid Abdullah Fahim menerima baik lawatan itu dan mengatakan ia membolehkan mereka memahami antara satu sama lain.

Beliau menerima baik lawatan itu yang menunjukkan cara-cara umat Islam mengerjakan ibadah mereka.
"Lawatan ini untuk mengekalkan hubungan baik, yang mana sekarang amat penting kerana kita berdepan dengan propaganda untuk memisahkan rakyat.

"Dengan cara ini, kita perlu membina jambatan penghubung," katanya.


Tiada ulasan: