Isnin, 21 Disember 2015

Jakim, IPG tandatangan MoU sedia modul guru Kafa

SINAR HARIAN


Jakim


IPOH - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk menyediakan modul latihan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara mulai awal tahun depan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata modul latihan yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu memfokuskan kepada latihan berasaskan kokurikulum dan suasana kelas Kafa.

"Sekarang ini guru Kafa terdiri daripada dua kategori. Kategori pertama, 40 peratus adalah guru terlatih daripada Kementerian Pendidikan dan 60 peratus bagi kategori kedua, yang kami akan tumpu kerana mereka bukan berasal daripada guru terlatih," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan Ihtifal Kafa peringkat kebangsaan kali ke-4, di sini malam tadi.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata guru Kafa akan menjalani modul latihan yang disediakan IPG selama empat hari sebelum menerima sijil yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Hasrat kerajaan adalah untuk memastikan semua guru Kafa terlatih dan memiliki kemahiran PdP (pengajaran dan pembelajaran) setanding dengan guru-guru Kementerian Pendidikan, kata Othman.

Beliau juga berkata Jakim amat berbangga apabila keputusan Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) mencatat keputusan sangat baik semenjak ia diperkenalkan contohnya pada 2014 catatkan keputusan cemerlang 100 peratus, iaitu tiada seorang calon pun mendapat D dalam kertas peperiksaan itu.

Mengenai majlis itu, Othman berkata program yang diadakan selama tiga hari mulai Jumaat lepas, adalah satu bentuk kegiatan kokurikulum yang berjaya mencungkil bakat dan potensi pelajar berdasarkan kemampuan mereka mengadaptasi pembelajaran Kafa di dalam kelas.

"Acara yang diperkenalkan dalam ihtifal Kafa ini secara langsung dapat menunjukkan keberhasilan produk yang lahir daripada program Kafa, umpamanya kepetahan pelajar dalam menyampaikan syarahan dengan isi dan fakta, mengalunkan bacaan al-Quran dengan tajwid dan bertaranum," katanya.

Sebanyak 282 peserta dari 12 negeri mengambil bahagian dalam enam kategori dipertandingkan iaitu tilawah al-Quran, nasyid, syarahan Arab, syarahan Bahasa Melayu, penulisan jawi dan penulisan khat. - Bernama

Tiada ulasan: