Khamis, 3 Disember 2015

Isu YaPEIM dan pimpinan yang amanah



Oleh MAIZATUL AKMR JUMAIN


AMALAN membelanjakan Aarta (infaq) boleh sahaja diberi langsung kepada individu yang memerlukan dan boleh juga diberi kepada badan-badan tertentu yang mengelolakannya. Malah, ia boleh diberikan kepada negara untuk dikelolakan dan boleh sahaja bagi negara mewujudkan atau melantik badan-badan tertentu untuk tujuan menguruskannya.

Apa yang menjadi isu di sini ialah infaq yang diberi kepada negara atau pihak-pihak tertentu untuk menguruskannya, sebagai pemegang amanah. Dalam Islam, segala pengurusan harta akan dikendalikan oleh Baitulmal atau badan yang dilantik oleh Baitulmal untuk menguruskannya.

Jadi, tugas Baitulmal dalam kes ini ialah untuk memastikan harta yang diinfaqkan itu sampai kepada tujuannya. Kerana itu, negara wajib memastikan pegawai yang ditugaskan di Baitulmal ialah terdiri daripada mereka yang diyakini dan terbukti akan ketakwaannya.

Harta amanah sama sekali tidak boleh (haram) digunakan untuk tujuan peribadi atau atas nama “urusan rasmi” kerajaan atau untuk manfaat mana-mana individu tertentu, termasuk penjaganya.

Menangani penyelewengan harta amanah dalam dunia yang bertunjangkan sistem kapitalisme hari ini, ramai manusia yang menjadi sengsara atau tinggal dalam kesengsaraan.

Dalam sistem kapitalismedemokrasi ini, kita semua maklum yang berapa ramai manusia yang tidak mendapatkan haknya kerana pemerintah telah merampas hak rakyat dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

Fenomena pemerintah hidup dalam limpahan kekayaan manakala rakyat hidup dalam kubang kemiskinan merupakan fenomena biasa. Melihat kepada keadaan ini, maka tidak hairanlah wujudnya ramai individu dan Isu YaPEIM dan pimpinan yang amanah badan-badan yang simpati dan berniat murni untuk membantu mereka yang memerlukan, lalu mereka menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah, walaupun tidak semuanya begitu.

Dalam sejarah Negara Islam (Khilafah), kita telah lihat bagaimana sejahteranya rakyat yang hidup di dalamnya sehingga boleh dikatakan hampir tiada masalah kemiskinan, sehingga tidak memerlukan badanbadan amal yang bekerja untuk memungut derma bagi membantu orang miskin, anak yatim mahupun para pelajar. Kesemua hal itu ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah.

Namun malangnya, pemerintah sekarang, selain tidak melaksanakan kewajipannya menjaga rakyat, menubuhkan pula badan-badan kebajikan seumpama ini dengan memungut derma atau sumbangan, sama ada daripada kakitangan kerajaan sendiri mahupun daripada rakyat atas alasan membantu fakir miskin, anak-anak yatim, para pelajar dan lain-lain.

Kewujudan badan-badan seumpama ini oleh pemerintah, setidaktidaknya telah berjaya mencapai dua objektif. Pertama, ia berjaya menutup segala kesalahan dan kepincangan pemerintah dan kedua, dana tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain apabila mereka memerlukannya. Walhal menjadi kewajipan pemerintah untuk membantu rakyatnya yang memerlukan dan bantuan ini tidak boleh diambil dari duit sumbangan atau derma orang ramai, kecuali dalam keadaan darurat.

Pemerintah wajib memastikan tidak ada seorang pun rakyatnya yang tidak cukup makan, tidak ada pekerjaan, tidak ada pendidikan dan seumpamanya dan wang/harta bagi menguruskan kewajipan ini wajib diambil daripada sumber pendapatan negara yang telah ditetapkan oleh hukum syarak, bukannya diambil dari wang derma orang ramai dengan cara menubuhkan yayasan untuk memungutnya.

Dalam kes ini, apabila kakitangan kerajaan (apatah lagi menteri), dilihat atau diketahui, apatah lagi kalau adanya bukti, bahawa dia telah melakukan kesalahan, maka pihak yang menuduh atau yang mempunyai bukti tersebut wajib membawa pengaduan ke mahkamah.

Pendedahan salah laku pemerintah (atau kakitangan mereka - yang dilakukan oleh mereka secara terbuka) dalam rangka untuk memuhasabah mereka, adalah suatu yang baik.

Namun, ia sepatutnya disusuli dengan membawa dakwaan ke muka pengadilan.

Dalam Islam, ada sebuah mahkamah khusus iaitu Mahkamah Madzalim yang akan membicarakan apa jua aduan atau sengketa di antara rakyat dengan pemerintah atau kakitangan mereka.

Kesalahan pecah amanah atau penyelewengan terhadap harta amanah, jika terbukti, maka pesalah itu wajib dikenakan ta’zir.

Abdurrahman al-Maliki di dalam kitabnya Nidzam al-Uqubat menetapkan yang setiap orang yang diberi amanah berupa harta atau diberi kepercayaan memegang harta, kemudian ia mengkhianati amanah harta tersebut, maka pelakunya akan dikenakan hukuman sebat dan penjara sehingga 5 tahun.

Termasuk dalam kategori ini ialah setiap orang yang mengkhianati harta yang diamanahkan kepadanya, seperti halnya ia berkedudukan sebagai pemegang wasiat bagi anak yatim, pengelola wakaf atau sebagai wakil atau sebagai pegawai atau yang lainnya. Selain itu, kakitangan pemerintah yang melakukan kesalahan itu mesti dipecat daripada jawatannya.

Cuma masalahnya sekarang ialah mahkamah yang ada kini bukanlah mahkamah Islam dan telah banyak bukti yang ia tidak membawa keadilan. Atas dasar itulah yang mungkin menjadi penyebab kepada rakyat tidak percayakan mahkamah dan tidak mahu membawa kes, apatah lagi apabila melibatkan pemerintah, kerana ternyata sudah banyak kes di mana individu yang cuba melaporkan kesalahan pemerintah, individu itu pula yang terlebih dahulu ditangkap dan disoal-siasat oleh pihak berkuasa. Seharusnya isu skandal YaPEIM dan lain-lain skandal pecah amanah, mampu membuka mata umat Islam akan kelayakan para pemimpin dalam memegang amanah.

Itu baru amanah yang kecil, apatah lagi ternyata para pemimpin yang ada tidak menerapkan amanah yang lebih besar yakni menerapkan hukum Allah secara kaffah.

Selain itu, umat Islam juga wajar membuka mata bahawa keadilan yang mereka cari tidak akan mereka temui dalam sistem demokrasi yang ada pada hari ini yang terbukti telah melahirkan ramai pemimpin yang tidak amanah. Kita tidak akan mendapat keadilan dalam sistem demokrasi kerana ia merupakan sistem kufur buatan manusia yang rosak lagi merosakkan.

Sesungguhnya keadilan hanya akan wujud apabila kekuasaan dipegang oleh mereka yang amanah, ahlinya dan takutkan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Apabila amanah telah disiasiakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya’. Salah seorang bertanya, ‘Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Apabila urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya” [HR Bukhari].

Keadilan yang sebenar hanya akan wujud apabila kita dinaungi oleh hukum Allah. Justeru, di samping mendedahkan dan memuhasabah setiap kesalahan pemerintah, setiap Muslim wajib berusaha menegakkan sistem yang datangnya daripada Allah dan menegakkan negara yang diperintahkan oleh Allah untuk didirikan yakni Negara Khilafah Rasyidah dan melantik seorang Khalifah yang amanah lagi bertakwa, agar kita semua terhindar daripada dosa dan kehancuran.

MAIZATUL AKMAR JUMAIN Unit Perhubungan Media Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM)

Tiada ulasan: