Sabtu, 5 Disember 2015

Isu RM2.6 bilion serius, 3 minit tidak cukup, kata Dr Mahathir



 Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Putrajaya yang mengambil masa hanya 3 minit membuat penjelasan berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2015.  
Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Putrajaya yang mengambil masa hanya 3 minit membuat penjelasan berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Putrajaya yang mengambil masa hanya 3 minit membuat penjelasan berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebelum ini. Bekas perdana menteri itu menyifatkan hal tersebut sebagai suatu yang serius dan sewajarnya penjelasan dibuat secara terperinci.

"Itu menunjukkan beliau tidak menghiraukan ketidakpuasan hati orang ramai.

"Ia hal yang serius, jadi kamu sepatutnya jelaskan dengan baik, bukannya (dalam masa) 3 minit," kata Dr Mahathir pada sidang media selepas menghadiri program Wacana Anak Muda Negeri Sembilan di Senawang hari ini. 
 
Pada Khamis, penjelasan yang dinantikan di Dewan Rakyat berhubung wang yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib menjadi hambar apabila perdana menteri menyerahkan perkara itu kepada timbalannya.

Ahli Parlimen bukan sahaja tidak dibenarkan mengemukakan soalan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, atau membahaskan jawapan yang diberikan, malah penjelasan itu keseluruhannya hanya mengambil masa 3 minit.

Dr Mahathir berkata, seluruh dunia mengetahui mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib itu, sambil mengulangi gesaan supaya nama penderma yang dikatakan menyumbang wang untuk tujuan politik itu didedahkan.

"Satu dunia tahu mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib. Kita nak tahu siapa penderma itu. Siapa dia dan datang dari mana?" soalnya.

Lebih mengecewakan Dr Mahathir, pada perhimpunan agung kali ini perwakilan dilarang bercakap isu sensitif seperti RM2.6 bilion dan juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Yang hanya boleh berucap adalah presiden. Timbalan presiden tidak boleh berucap.

"Perwakilan juga dilarang daripada sentuh isu tidak disenangi presiden, contohnya isu RM2.6 bilion dan 1MDB," katanya.

Beliau berkata, situasi ini tidak mencerminkan demokrasi yang sudah lama wujud dalam Umno sehingga pelbagai sekatan dibuat.

"Ini keadaan sekarang, tidak ada demokrasi. Ahli dan wakil tidak boleh bercakap. Kalau sokong Najib sahaja boleh bercakap," katanya.

Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menemui Najib bagi merekodkan kenyataan beliau mengenai SRC International Sdn Bhd (SRC) dan wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau juga ketika ini berdepan tindakan saman bekas ahli Wanita Umno, Anina Saadudin, yang memfailkan saman terhadapnya dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf pada 28 Ogos lepas.

Anina antara lain menuntut pembayaran RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik Umno di Singapura.


Tiada ulasan: