KUALA LUMPUR,  Langkah sekatan ke atas peserta luncur angin dari Israel dalam Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa 2015 (ISAF YWC 2015) di Langkawi, Kedah adalah perlu sebagai tanda protes terhadap kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan protes terhadap Israel perlu diterjemahkan dalam setiap perkara, bukan hanya sukan semata-mata.

“Tindakan ini disambut baik sebagai sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan haram Israel secara berterusan dengan cara yang amat tidak bertamadun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fakhrulrazi turut membidas kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin semalam yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Katanya, kenyataan Chong telah mengguris hati rakyat khususnya umat Islam dan pencinta keamanan sejagat yang sangat peduli dengan nasib rakyat Palestin.

“Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama,” katanya.

Semalam, Chong dilaporkan berkata sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik.

“Menafikan visa mana-mana atlet berdasarkan kewarganegaraan, agama, atau kepercayaan peribadi mereka adalah tindakan yang tidak boleh diterima.

“Lebih-lebih lagi kedua-dua atlet itu adalah juara bertahan. Menafikan visa bagi kemasukan mereka sama seperti menafikan hak untuk mempertahankan kejuaraan mereka. Perkara ini tidak boleh diterima dalam mana-mana acara sukan,” kata Chong yang dipetik Malaysiakini.

Menurut portal itu, Khairy dilaporkan memainkan peranan dalam penafian visa ke atas peserta Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan berdasarkan dasar diplomatik Putrajaya terhadap Israel.

ISAF YWC 2015 yang berlangsung hari ini hingga 3 Januari 2016 menerima penyertaan 446 pelayar muda dari 80 negara termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia dan Afrika Selatan.