Isnin, 7 Disember 2015

Ideologi IS juga boleh meresap dalam Amanah - Salahuddin

ANTARAPOS,COM


Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menolak kemungkinan ideologi militan Negara Islam (IS) boleh meresap ke dalam parti itu dan merosakkan pergerakan mereka.
 
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata pihaknya khuatir dengan ideologi IS yang dilihat berkemungkinan menyerang parti itu, berikutan ia sudah melanda banyak pergerakan kumpulan Islam di seluruh dunia, termasuk negara ini.
 
Sambil memperbetulkan kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mengatakan PAS diresapi pemikiran IS, Salahuddin berkata kenyataan itu sebenarnya meminta semua pihak, khususnya gerakan Islam berwaspada dengan ancaman budaya dan pemikiran gerakan militan berkenaan.
 
"Mat Sabu (Mohamad) sebut dalam konteks budaya dan pemikiran IS yang melanda hampir semua gerakan Islam di dunia dan Malaysia, perlu diwaspadai, itu yang dimaksudkan.
 
"Contohnya budaya 'takfiri' (iaitu) mengkafirkan orang, budaya yang menonjolkan bahawa parti mereka saja yang Islamik, kalau keluar parti masuk neraka atau halal darah mereka untuk dibunuh, ini budaya yang sedang dikhuatiri akan melanda mana-mana gerakan dan parti Islam termasuk kami," katanya pada sidang media Amanah di sini, hari ini.
 
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir; Ketua Angkatan Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kenyataan Mat Sabu yang mendakwa pemikiran IS menyerap ke dalam PAS hingga tersuburnya budaya takfiri dalam parti itu, adalah kenyataan peribadi atau mewakili Amanah.
 
 

Tiada ulasan: