Jumaat, 4 Disember 2015

Hutang negara RM623 bilion bukti Najib gagal sebagai PM

Oleh: Nadia Hanafi




KUALA LUMPUR- Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan yang melebihi RM600 billion membuktikan Datuk Seri Najib Razak gagal sebagai Perdana Menteri dan menteri kewangan kata Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan.

Katanya, kenaikan kadar hutang yang amat drastik dan mendadak dalam tempoh singkat pemerintahan Najib Razak merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima.

“Beliau gagal sebagai PM dan menteri kewangan untuk menjamin hutang negara berkurangan. Ini menunjukkan ketidakcekapan mentadbir, ketidakcekapan mengurus ekonomi dan kewangan negara oleh beliau,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani memberitahu setakat 30 September 2015, hutang kerajaan berjumlah RM623.3 bilion meliputi hutang domestik, hutang dijamin kerajaan dan hutang PFI.

Manivanan berkata, tidak mustahil hutang negara ini mencecah  RM 1 trillion sekiranya negara masih ditadbir oleh pemimpin yang tidak tahu mengurus tadbir negara.

“Kalau sekarang (hutang) kita dah menjangkau RM600 billion, untuk menyentuh RM 1 trillion dengan ketidakcekapan, ketidakmahiran beliau untuk mengurus, benda ini akan menjadi realiti,” ujarnya.

Katanya, kerajaan kini membebankan rakyat dengan menaikkan harga barang, tambang pengangkutan awam, harga petrol dan memansuhkan subsidi bagi menampung jumlah hutang yang ditanggung mereka.

Tiada ulasan: