Jumaat, 4 Disember 2015

Hukuman mati pembunuh Sosilawati kekal

 
Panel tiga hakim membuat keputusan berpuas hati bahawa tiada sebab untuk mereka mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tertuduh bersalah membunuh mangsa. 



sosilawati1


PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap bekas peguam, N Pathmanathan dan tiga yang lain atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga pembantunya lima tahun lalu.

Keputusan itu disepakati oleh panel tiga hakim selepas menolak rayuan keempat-empatnya terhadap sabitan dan hukuman gantung.

Dalam sidangnya, Hakim Datuk Aziah Ali bersama Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam membuat keputusan itu berpuas hati bahawa tiada sebab untuk mereka mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tertuduh bersalah membunuh keempat-empatnya.

“Tiada sebab untuk mahkamah mengubah keputusan mahkamah tinggi,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Tengku Maimun meluangkan masa hampir sejam membaca penghakiman tersebut.

Pathmanabhan, 45, dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, 23, R Matan, 24 dan Kathavarayan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mei 2013 setelah didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Perbuatan itu dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka pergi ke Banting atas urusan tanah.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff.

Tiada ulasan: