Rabu, 16 Disember 2015

'Hotel dapat amaran jangan terima saya berucap'

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad hari ini mengeluh sekatan kerajaan terhadapnya lebih teruk berbanding pembangkang.

Beliau mendakwa, semua tempat untuknya bagi bercakap dengan anggota Umno dan orang awam kini ditutup.

“Semua dewan ditutup bagi saya sehingga saya tidak dapat bertemu dan bercakap dengan orang Umno atau orang ramai.

“Hotel diberi amaran akan tidak diberi bisnes kerajaan jika saya diterima berucap dalam dewan-dewan mereka,” tulis Tun Mahathir di blognya hari ini.

Mahathir lantang mengkritik Datuk Seri Najib Razak berhubung syarikat 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Ini kali kedua Mahathir mengeluh perkara itu. Minggu lalu beliau berkata sukar mendapatkan dewan untuk berucap kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.

Ini mendorong portal pro-Najib MYKMU mempersendakannya dengan mencadangkan beliau merujuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Tempat itu sering menjadi lokasi alternatif untuk pembangkang dan aktivis mengadakan program.

KLSCAH bagaimanapun berkata Mahathir amat dialu-alukan menggunakan kemudahan mereka dengan menyewanya.


Tiada ulasan: