Isnin, 14 Disember 2015

Hidup Umno, kata Najib pada robot

Koh Jun Lin


 


Walaupun perhimpunan agung tahunan Umno sudah tamat semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak nampaknya masih berada dalam mood dan kemeriahan acara itu.

Dalam acara santai di pertandingan Permainan Siber Malaysia 2015 hari ini, perdana menteri sempat berkata “Hidup Umno!” sebagai respon aksi sebuah robot.

Beliau ketika itu melawat tapak pameran yang didirikan sempena acara itu.

Selepas menonton perlawanan akhir Dota 2 dan mencuba sendiri aksi dalam permainan itu, beliau melalui sebuah robot putih dengan bentuk badan seperti manusia yang terletak di atas sebuah meja.

Robot itu kemudian kelihatan bangun, menyebabkan Najib menghampirinya dan kelihatan seperti mahu bersalam dengannya. Robot itu kemudiannya mengangkat tangan ke udara.

Najib secara spontan bertindak sama dan melaungkan “Hidup Umno!” membuatkan kawasan sekitar itu menjadi ceria.

Pertandingan permainan siber itu melibatkan beberapa permainan popular seperti Dota 2, Fifa 16, Ultra Street Fighter IV, and Counter-Strike: Global Offensive.

Hadiah terbesar ditawarkan untuk Dota 2, dengan pasukan pemenang akan membawa pulang RM125,000 dan peluang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Keputusannya dijangka diumumkan malam ini.

Ia juga mencatat rekod pertandingan siber terbesar di negara ini dengan 792 pasukan mengambil bahagian.

Tiada ulasan: