Jumaat, 11 Disember 2015

GST: Perwakilan UMNO terima apa sahaja kerajaan lakukan

 
Seorang lagi ahli UMNO dari Perak, Mohd Nasir Abdullah berpendapat pelaksanaan GST langsung tidak membawa masalah malah menyelamatkannya daripada ditipu oleh peniaga- peniaga berbangsa Cina. 


gst UMNO


KUALA LUMPUR: Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April yang lalu dijunjung sebagai langkah kerajaan demi kebaikan rakyat.

Tinjauan FMT mendapati rata-rata ahli perwakilan UMNO yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ke-69 memberikan reaksi positif terhadap cukai GST enam peratus itu.

Noorshabila Aman dari Kedah berpendapat walaupun GST dimomokan sebagai membebankan rakyat, tetapi memandangkan kerajaan melaksanakannya untuk kebaikan rakyat maka harus diterima sahaja.

“Memang kadang-kadang orang kata ia beban pada kita, tetapi kerajaan kata baik sebab hasilnya akan dipulangkan pada rakyat. Jadi okaylah.

“Kita terima sahaja apa yang dia (kerajaan) buat untuk kita. Apa yang dia buat, mesti baik untuk kita. Kita terima sahajalah,” ujarnya kepada FMT.

Manakala, bagi perwakilan UMNO, Umailiah Saidinah yang berasal dari Semporna, Sabah, pelaksanaan GST diterima walaupun ia menyebabkan pembelian jumlah barang merosot.

“Pembelian barangan sememangnya merosot berbanding dahulu, tetapi apa yang boleh buat? Kita (kerajaan) yang pegang pada undang-undang jadi terpaksa ikut.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli UMNO dari Perak, Mohd Nasir Abdullah pula memberikan pandangan yang agak pedas mengaitkan GST dengan peniaga Cina.

Katanya, pelaksanaan GST langsung tidak membawa masalah malah menyelamatkannya daripada ditipu oleh peniaga- peniaga berbangsa Cina.

“Tidak ada masalah pada rakyat. Pakcik orang kampung, tidak ada masalah mengenai GST.

“Kalau beli barang kena GST, biasalah. Kalau dicukaikan, sudah tentu hasilnya kerajaan ambil, maka tidak ada isu peniaga Cina tipu kita kerana sudah ada rekod sekarang,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, hanya dua ahli UMNO memberikan pandangan berbeza dengan menyatakan GST sebagai membebankan.

Perwakilan UMNO dari Kelantan, Rohana Mohamed dan Zantapha Zainal Abidin dari Sabah menjelaskan cukai sebagai membebankan semua orang tidak kira yang di bandar atau di kampung.

“Masyarakat kampung akan terbeban sebab ada peruncit dan pekedai di kampung mula menaikkan harga sebab kos pengangkutan. Orang kampung paling terbeban dengan GST,” ujar Zantapha.

Tiada ulasan: