KUALA LUMPUR,  Abu Talam Abdul Salam, 32, adalah seorang tukang masak di sebuah restoran yang terletak berhampiran Wisma MCA, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


Beliau sering berulang-alik menggunakan perkhidmatan bas Go-KL dari rumahnya ke tempat kerja.

“Dari rumah saya di Pudu, saya akan berjalan kaki ke Times Square, semata-mata mahu menaiki bas Go-KL laluan hijau, kerana ia percuma.

“Lagipun perkhidmatan bas ini sangat baik dan saya selesa menggunakannya,” katanya Ketika ditemui The Rakyat Post, baru-baru ini.

Abu Talam yang berasal dari Bangladesh berkata, selain Go-KL, beliau turut menggunakan pengangkutan awam lain, seperti Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Memang betul tambang pengangkutan awam sekarang banyak mahal. Gaji RM1,500 pun tidak cukup, tetapi bas percuma kan ada, bolehlah berjimat sedikit dengan menaikinya,” katanya.

Seorang lagi pengguna Go-KL, Razak Kaba, 32, berkata, bas percuma Go-KL merupakan pengangkutan terbaik di ibu kota.

“Saya selalu menggunakan bas ini. Saya dapati ia sentiasa digunakan warga emas, pelancong, anak-anak muda dan orang kelainan upaya (OKU).

“Dari segi ketepatan masa, kadang-kala saya kena menunggu sebentar untuk menggunakan perkhidmatan ini bagi laluan hijau atau ungu, kerana kesesakan lalu lintas.

“Sebab itu, saya tidak boleh beri lima bintang, tetapi dari segi perkhidmatan dan aspek kebersihan, semuanya lima bintang,” kata Razak yang berasal dari Timur Tengah.

Ranita Bunga, 17, pula berpendapat, bas Go-KL memudahkan beliau berkunjung ke lokasi menarik di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

“Jika saya ke Bukit Bintang, saya akan menaiki bas Go-KL untuk bersiar-siar.

“Walaupun percuma, perkhidmatan yang diberikan sangat baik, kerana setiap perhentian, penumpang akan diberitahu nama perhentian itu, seperti di dalam LRT,” katanya.
SSR_4973
Penumpang bas Go-KL akan dimaklumkan perhentian seterusnya melalui papan elektronik 
dalam bas itu. – Foto TRP/ Syahirah Roslan
Ibunya, Ita Rono, 48, berkata, penduduk di negara ini bertuah, kerana kerajaan menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti Go-KL.

“Di Indonesia, tidak ada bas percuma dan tambangnya juga mahal seperti di Kuala Lumpur, tetapi di sini, penduduknya lebih bertuah, kerana diberi pilihan menggunakan perkhidmatan bas percuma.

“Pada pendapat saya, perkhidmatan Go-KL sangat bagus dan mudah untuk dinaiki, kerana pengguna hanya perlu tunggu di perhentian bas yang disediakan, mengikut laluan pilihan masing-masing,” katanya.

Pengguna Go-KL warga tempatan, Viki Goh, 30, berkata, kemudahan ini lebih banyak dinikmati warga asing.

“Kemudahan bas percuma ini lebih ramai digunakan warga asing berbanding warga tempatan.

“Saya dapati warga asing lebih banyak menggunakan bas ini, tetapi pada hari bekerja, ada juga warga tempatan yang menggunakannya,” katanya.

Anak kelahiran Johor itu mengakui, beliau suka menaiki bas Go-KL dan berharap lebih banyak laluan baru akan dibuka kelak.

Dari segi ketepatan masa pula, Goh memberikan empat bintang, kerana jelasnya, walaupun jalan sesak, Go-KL masih beroperasi mengikut jadual tanpa henti.

“Kadang-kala bas tiba sedikit lewat, kerana kesesakan lalu lintas, tetapi kebersihannya lima bintang,” katanya.

Pengguna memberi lima bintang kepada tahap kebersihan dalam bas Go-KL. - Foto TRP/ Syahirah Roslan
Pengguna memberi lima bintang kepada tahap kebersihan dalam bas Go-KL. – 
Foto TRP/ Syahirah Roslan
Bagi Yap Kim Nooi, 67, bas Go-KL sesuai dinaiki warga emas sepertinya.

“Selain percuma, tempat duduk bas ini juga selesa dan mudah dinaiki warga emas, kerana ia tidak mempunyai tangga,” katanya.

Bas Go-KL diwujudkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55.

Kerajaan Persekutuan menghadiah perkhidmatan bas percuma kepada warga kota bagi destinasi tertentu di kawasan pusat bandar.

Penubuhan perkhidmatan bas percuma yang disediakan pengendali pengangkutan, RapidKL itu merupakan langkah terbaru kerajaan bagi mempromosi pengangkutan awam di kalangan orang ramai, selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat perniagaan daerah (CBD) di ibu negara.

Bas ini mudah dikenali, dengan adanya logo Go-KL City Bus serta tertera percuma pada bas berkenaan dan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Selain itu, ia turut dilengkapi kemudahan WiFi, sistem penentuan kedudukan global, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan mesra OKU.

Laluan hijau melibatkan hentian bas di Suria KLCC, Angkasaraya, Pusat Penerangan Pelancongan (MaTiC), Hotel Concorde, Wisma Hup Seng, The Weld, Wisma Lom Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Monorel Raja Chulan, Wisma Rohas Perkasa, Citibank dan Wisma Athlan.

Manakala laluan ungu pula melibatkan hentian bas di Pasar Seni, Bangkok Bank, Muzium Telekom, Menara Olimpia, Menara KL, The Weld, Wisma Lim Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Wisma Boustead, Wisma HLA, Simpang Bukit Ceylon, Muzium Telekom dan Kota Raya.