Ahad, 13 Disember 2015

Gesaan Amanah jadi ahli majlis dipertimbang


Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali - Foto Sinar Harian


KLANG - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gesaan Parti Amanah Negara (Amanah) agar wakil mereka dilantik ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini akan dipertimbang sebelum perkhidmatan ahli majlis tamat tempoh hujung bulan ini.

Menurutnya, perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden PKR itu berkata,  rundingan bagi kuota pelantikan ahli majlis baru sedang dilakukan.

“Ada parti sudah hantar nama dan kita akan bawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) .

“Kita akan buat keputusan dan majlis pelantikan akan dibuat segera,” katanya ketika diminta mengulas berhubung gesaan Amanah terhadap pelantikan ahli majlis turut melibatkan parti itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Istiadat Penganugerahan /Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Hari keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-70 yang berlangsung Balairung Seri, Istana Alam Shah, semalam.

Berkenaan pembahagian kuota ahli majlis, beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Kita akan bawa dalam MMKN akan datang dan kita akan laksanakan pelantikan yang baru secepatnya,” katanya.

Terdahulu, parti Amanah Selangor menuntut agar pembahagian kerusi Ahli PBT untuk parti itu dibuat segera sebelum perkhidmatan Ahli PBT di negeri ini berakhir hujung bulan ini.

Ketua Pemudanya, Abbas Azmi berkata, memandangkan Amanah sudah membarisi komponen Pakatan Harapan, tiba masanya parti baharu ini menyumbangkan khidmat dalam pentadbiran PBT.


Tiada ulasan: