Ahad, 6 Disember 2015

Gagal jawab RM2.6 bilion di Parlimen, C4 ramal tekanan baharu menanti Najib

THE MALAYSIAN INSIDER

Pengarah C4, Cynthia Gabriel berkata Datuk Seri Najib Razak terlepas peluang baik menjelaskan aliran wang masuk RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Disember, 2015. 
Pengarah C4, Cynthia Gabriel berkata Datuk Seri Najib Razak terlepas peluang baik menjelaskan aliran wang masuk RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di Dewan Rakyat pada Khamis lalu menjawab dakwaan berhubung sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun banknya hanya akan menimbulkan desakan baharu beliau berundur, kata kumpulan anti-rasuah Pusat Memerangi Rasuah & Kronisme (C4) hari ini.

Pengarah C4, Cynthia Gabriel berkata Najib mempunyai peluang sangat baik merungkaikan segala persoalan mengenai isu itu, tetapi ketidakhadiran beliau mencetuskan lebih banyak syak wasangka dan tanda tanya.

"Ketiadaan Najib di Parlimen memberi gambaran jelas perdana menteri tidak akan dan tidak peduli untuk mengambil tanggungjawab, ada sesuatu yang buruk hendak disembunyikan dan terlalu takut berdepan tindakan selanjutnya daripada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Najib perlu berhenti bersembunyi di sebalik alasan "sub judice" kerana isu RM2.6 bilion ialah perkara mustahak yang berkepentingan awam. "Bersembunyi di sebalik dakwaan tidak munasabah memberi alasan ia menghina mahkamah, hanyalah respons yang memalukan, memusnahkan sisa-sisa harapan yang tinggal ke arah mencari kebenaran.

"Tidakkah sikap 'devil may care' (tidak mempedulikan bahaya) ini boleh dianggap serangan yang serius kepada integriti Dewan yang mulia dan perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebagai satu krisis negara?" soalnya.

Gabriel juga mendakwa kerajaan "mengalihkan" perhatian rakyat daripada banyak jawapan yang dinanti-nantikan apabila meluluskan dengan begitu pantas rang undang-undang "zalim" Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Lulusnya rang undang-undang itu menggambarkan bagaimana terdesaknya perdana menteri hendak mengekalkan kuasa, memusnahkan asas 'check and balance' demokrasi dan merampas kuasa yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan."

Beliau berkata C4 akan menggesa Bank Negara Malaysia memulakan siasatan baharu kes pengubahan wang haram terhadap perdana menteri dan mendedahkan kepada umum siasatan terdahulunya serta laporan ketua audit negara.


Tiada ulasan: