Selasa, 15 Disember 2015

FOMCA minta kadar elektrik golongan berpendapatan rendah kekal

 
Kerajaan perlu teruskan subsidi buat mereka yang berpendapatan rendah kerana kegagalan berbuat demikian pasti beri kesan negatif dan tidak adil kepada mereka.


tarif-elektrik2


PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan agar mengekalkan subsidi elektrik untuk golongan berpendapatan rendah.

Setiausaha Agung FOMCA Datuk Paul Selvaraj berkata, golongan tersebut perlu dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik, apatah lagi di saat kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.

“Kerajaan perlu teruskan subsidi buat mereka yang berpendapatan rendah. Jika tidak, ia pasti beri kesan negatif dan tidak adil kepada mereka.

“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk kurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan The Star pada Isnin mengenai kadar tarif elektrik yang dijangka meningkat untuk beberapa tahun akan datang, ekoran pengumuman kerajaan untuk mengurangkan subsidi gas berpaip di Semenanjung Malaysia.

Di bawah program rasionalisasi subsidi kerajaan, harga gas berpaip akan dinaikkan RM1.50/mmBtu pada setiap enam bulan sehingga mencapai harga pasaran.

Namun begitu, Selvaraj menyokong pengurangan subsidi elektrik kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi, dengan syarat ia dilakukan secara telus.

“Untuk jangka panjang, saya sokong langkah ini. Tetapi ia perlu dibuat secara telus.

“Misalnya, rakyat tak faham mengapa kadar elektrik tetap naik di saat harga minyak dan arang batu jatuh,” katanya lagi.

Tiada ulasan: