Khamis, 3 Disember 2015

FAM amal sistem pengurusan dalam gua?

Shakira Buang 





Nampaknya Lim Teong Kim belum serik untuk mengeluarkan kenyataan pedas kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam pengurusan bola sepak negara.

Hari ini bekas pemain kebangsaan yang menjadi Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu berkata, prestasi sukan bola sepak negara akan terus memburuk jika FAM kekal menggunakan kaedah pengurusan "zaman gua".

Tidak cukup dengan itu, Teong Kim mendakwa FAM tidak mempunyai kesungguhan melaksanakan program pembangunan sukan bola sepak.

Justeru, katanya yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad remaja Bayern Munich berkata, tidak mengejutkan apabila prestasi bola sepak negara kini berada pada tahap kronik sekarang.

“Ramai jurulatih pernah bermain untuk negara dan ada yang masih berkhidmat dengan negara sekarang. (Cuba) tanya mereka, apakah ada perbezaan cara latihan dulu dan sekarang?

“Sebab itu saya katakan (kalau guna kaedah lama) sukan kita tidak ke mana dan masih berada dalam gua. Jadi, bagaimana sukan bola sepak kita nak naik?" soal Teong Kim di Bukit Jalil hari ini.

Dia ditemui di majlis sidang media mengumumkan pertandingan bola sepak Piala SuperMokh 2015.

Kamu tanya FAM

Mengulas lanjut, Teong Kim berkata program pembangunan bola sepak bukan sesuatu yang baru namun FAM tidak pernah mengambil peduli malah idak mempunyai semangat untuk berbuat demikian.

“Benda (program pembangunan bola sepak) ini bukan baru, FAM tahu dan sudah lama tahu, tapi saya tidak tahu (kenapa mereka tidak ambil peduli), kamu kena tanya FAM sendiri.

“FAM tahu tapi tak ada semangat nak buat. Itu yang saya boleh beritahu, mereka tak peduli dan tak semangat,” ulas Teong Kim dengan nada kesal.



Teong Kim bukanlah baru dalam polemik kontroversi sukan bola sepak. Baru-baru ini dia menaikkan kemarahan ramai jurulatih apabila mendakwa pihak terbabit bersikap "bodoh sombong" dan "ego" untuk bertukar-tukar idea.

Katannya, jurulatih tempatan hanya bekerja dalam negara sahaja dan ia tidak mampu mengangkat prestasi skuad kebangsaan ke arah lebih baik..

Menurut Teong Kim, FAM dan jurulatih perlu mencari pendekatan baru dengan melaksanakan program pembangunan di setiap negeri.

“Kalau bola sepak dijaga oleh persatuan bola sepak dengan memberi fokus kepada program pembangunan, ia bukan saja boleh berjaya, malah boleh medidik pemain supaya berdisiplin.

“Tetapi jika dididik (pemain) menjadi liar sudah tentu mereka menjadi liar," katanya.

Berhubung kejohanan jemputan antarabangsa Piala SuperMokh edisi kedua kali ini, Teong Kim berkata, ia akan bermula Isnin ini dan menjadi medan terbaik untuk pemain muda bola sepak negara meraih pengalaman.

Sebanyak 30 pasukan luar negara akan bertanding dalam dua katogeri iaitu bawah 12 dan 13 tahun.

Tambahnya, pertandingan akan diadakan di padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam, Kompleks Sukan Maybank Bangi dan Akademi KLFA, Taman Melati.

Kejohanan itu akan berakhir pada 13 Disember ini.


Tiada ulasan: