Khamis, 17 Disember 2015

Empat rang undang-undang diluluskan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Negara semalam meluluskan empat rang undang-undang iaitu Rang Undang-undang Kewangan 2015, Rang Undang-undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015.
 
Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2009 bertujuan memasukkan bahagian yang memberi kuasa kepada Perbadanan bagi memperuntukkan insurans penstabilan.
 
Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 bertujuan membolehkan pencarum KWSP membuat pilihan supaya kesemua amaun yang ada dalam kredit akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut syariah.
 
Bagi Rang Undang-Undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 pula, ia merupakan akta terpakai bagi mengawal selia Profesion Kesihatan Bersekutu yang menyenaraikan 23 profesion dalam kesihatan bersekutu.
 
Rang Undang-Undang Kewangan 2015 pula menyentuh pindaan-pindaan terhadap Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Akta Penggalakan Pelaburan 1986.  
 
Persidangan Dewan Negara akan terus bersidang sehingga Selasa ini dengan dua lagi rang undang-undang bakal dibahaskan iaitu Rang Undang-undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015. 


Tiada ulasan: