KUALA LUMPUR,  Dua lelaki warga Myanmar ditemui maut dengan kesan tikaman di sebuah gerai di kaki lima di Jalan 5/62 A, Bandar Manjalara, pagi tadi.


Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Kumar, 34 dan Saw, 42 dipercayai pemilik gerai dan pelanggan.

Menurutnya, kedua-kedua mangsa ditemui dengan kesan tikaman masing-masing 12 dan 18 tikaman pada badan mangsa.

“Polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian. Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan motif kejadian dan siasatan masih diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.