Ahad, 20 Disember 2015

Dua pam kekal tangani banjir di Kuala Selangor

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA SELANGOR:  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bersetuju untuk memasang 2 pam kekal di kunci air Parit Merbau dan Parit Gajah di Kuala Selangor untuk mengepam keluar air banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah itu.
 
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata keputusan pemasangan itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Khamis lepas.
 
"Saya mohon kepada kerajaan negeri agar memasang pam kekal ini bagi mengatasi masalah banjir khususnya di Kuala Selangor berbanding dengan pam 'mobile' yang ada sekarang," katanya.
 
Banjir di beberapa kawasan di Kuala Selangor dianggap sebagai banjir yang paling teruk sejak 20 tahun lepas dan antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Parit Mahang, Kampung Seri Sentosa Batu 15 dan Puncak Alam.
 
Mengulas mengenai situasi banjir di kawasan itu hari ini, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kuala Selangor berkata keadaan banjir semakin pulih dengan hanya 1 pusat pemindahan masih dibuka di Surau Kuning Blok B, Sawah Sempadan, Tanjong Karang yang menempatkan 15 mangsa daripada 4 keluarga.
 
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, seramai 100 keluarga yang menetap di Taman Sri Indah, Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam memohon kerajaan negeri membina 1 kolam takungan air selain menambah baik sistem perparitan di sekitar kawasan itu yang kerap dilanda banjir ketika musim tengkujuh ini.
 
Pengerusi jawatankuasa penduduk, Muhammad Razlan Abdul Rahim, 40, berkata lebih separuh daripada 43 buah rumah teres di sekitar kawasan itu terjejas akibat banjir yang mencecah paras lutut orang dewasa.
 
"Kami menghadapi masalah ini sejak 5 tahun lepas dan masih tiada langkah konkrit diambil. Mujurlah, dengan semangat kesepakatan yang ada dalam kalangan penduduk, kami dapat bergotong-royong membersihkan kawasan khususnya parit tersumbat yang mengakibatkan banjir," katanya. – Bernama
 
 

Tiada ulasan: