Khamis, 3 Disember 2015

Desak semak kadar tambang, kenaikan 57 peratus ‘cekik darah’

oleh Fatih Hassan Nordin


ERL


KUALA LUMPUR  – Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mendesak Kementerian Pengangkutan menyemak semula kadar tambang baharu yang dikenakan kepada penguna perkhidmatan Express Rail Link (ERL) yang disifatkanya sebagai “cekik darah”.

Beliau berkata, KLIA Express tidak wajar menaikkan kadar tambang kerana syarikat itu mencatat keuntungan sekitar 40 peratus sejak pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tahun lalu dengan penambahan 6 gerabak baharu.

“Peningkatan jumlah penumpang seharusnya menyumbang kepada peningkatan keuntungan KLIA Express,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Kian Ming juga mengingatkan kos pembinaan lanjutan ke KLIA2 yang bernilai RM100 juta dibayar sepenuhnya oleh kerajaan, sekali gus bermakna KLIA Express menerima kelebihan dari segi kewangan tanpa perlu mengeluarkan modal.

Beliau juga tertanya-tanya sama ada kenaikan itu disebabkan kenaikan kadar pajakan Perbadanan Aset Keretapi (PAK) bagi landasan yang menghubungkan KL Sentral, KLIA serta KLIA 2.

“Menteri Pengangkutan harus mendedahkan perjanjian pajakan itu kerana ia melibatkan kepentingan bersama,” katanya yang mengesyaki peningkatan cukai lapangan terbang dari RM51 ke RM65 ada kena mengena dengan peningkatan kadar tambang ERL.

“Adakah KLIA Express masih menerima bayaran cukai itu? Jika ya, mengapa KLIA Express menaikkan kadar tambang dengan begitu tinggi?” katanya merujuk jawapan Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat yang mengesahkan RM5 dari setiap cukai, dibayar kepada KLIA Express.

Semalam, syarikat itu mengumumkan kadar tambang baru bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke KLIA dan ke KLIA2 ialah RM55 berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan. Ia menyaksikan kenaikan kadar tambang sebanyak 57 peratus – dari RM35 kepada RM55.

Menyifatkan langkah kenaikan itu sebagai ‘penswastaan’ keuntungan, Kian Ming menganggap kenaikan itu menguntungkan kroni kerana sebahagian besar saham KLIA Express dikuasai oleh YTL Corporation yang pemegang sahamnya pemimpin BN.


Tiada ulasan: