Jumaat, 18 Disember 2015

DBKL tidak akan ubah ‘permit untuk Cina’ saja

Lu Wei Hoong  





Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk hanya mengeluarkan permit jualan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang kepada hanya peniaga-peniaga Tionghua sahaja.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ibrahim Yusoff, berkata keputusan itu adalah berikutan ruang yang terhad dan kontroversi yang mungkin timbul jika kaum lain juga dibenarkan menjual barangan mereka.

"Lazimnya, peniaga menjual barangan perayaan yang berkaitan, misalnya, peniaga India akan jual barangan agama di bazar Deepavali, peniaga Melayu pula menjual baju Melayu di Bazar Ramadan dan limau Mandarin dijual di bazar Tahun Baru Cina.

"Ruang yang ada terhad. Saya tidak mahu lihat bangsa yang berhak tidak mendapat lesen. Mereka tidak akan berpuas hati,” katanya.

Menurut Ibrahim, tindakan mengeluarkan permit kepada hanya peniaga-peniaga Cina sahaja bukan bertujuan menjejaskan keharmonian antara kaum tetapi berdasarkan kepada permintaan.

"Kami sudah lakukan ini sejak puluhan tahun lalu dan tiada siapa yang mengadu,” katanya.

Ibrahim juga berkata peniaga Cina dan Melayu di Jalan Pasar bersetuju menjalankan perniagaan di kawasan yang sama sempena perayaan Tahun Baru Cina.

"Di Pudu, ada peniaga Cina dan Melayu. Kami beri 70 peratus gerai-gerai kepada orang Cina dan 30 peratus kepada peniaga Melayu sempena Tahun Baru Cina dan perkara sebaliknya pada bulan Ramadan. Tidak ada masalah kerana terdapat persetujuan bersama di kalangan mereka.

"Bagaimanapun, jika kita benarkan peniaga Cina dan India menjaja barangan mereka di Masjid India dan Lorong TAR semasa Ramadan, peniaga Melayu akan bising," katanya.

Menurutnya, bagi bazar Ramadan di Masjid India, hanya 500 lesen sementara yang dikeluarkan tetapi terdapat lebih daripada 5,000 permohonan.

“Jika DBKL benarkan bangsa lain masuk (Lorong TAR) ini akan timbulkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai menyuarakan bantahannya terhadap cadangan DBKL yang mengehadkan permit jualan Tahun Baru Cina hanya kepada peniaga-peniaga berbangsa Cina sahaja.

Pemimpin DAP itu mendakwa dasar itu bersifat perkauman.

Tiada ulasan: