KUALA LUMPUR,  Lesen bagi penjualan rokok elektronik (e-rokok) tidak akan dikeluarkan lagi, tetapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih mengkaji sama ada mahu mengharamkan vape di ibu negara.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, pihaknya sedang mengkaji penggunaan dan penjualan vape daripada semua aspek.

“DBKL sudah tolak permohonan lesen peniaga Vape dan sehingga kini tidak ada lesen yang dikeluarkan.

“Bagaimanapun, DBKL masih belum membuat keputusan untuk mengharamkan vape, seperti di Johor dan Kelantan.

“Keputusan akan dibuat semula, selepas memperoleh keputusan daripada kajian itu,” katanya selepas menyertai Operasi Anti Litter di Brickfields, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Ibrahim Yusoff dilaporkan sebagai berkata, pihak berkuasa tempatan itu tidak akan mengeluarkan lesen penjualan vape kepada peniaga di ibu negara lagi.

“DBKL tidak akan menerima permohonan daripada peniaga vape dan tidak akan mengeluarkan lesen. Satu permohonan peniaga ditolak baru-baru ini,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insider.

Ibrahim berkata, DBKL masih membincangkan langkah yang akan diambil terhadap peniaga vape sedia ada.