Khamis, 10 Disember 2015

Datuk Seri lupa cakap pasal 20 juta Melayu yang lain!

 
Obses dengan perjuangan UMNO selama 69 tahun yang lalu dan 40 tahun penglibatannya dalam politik kepartian, Presiden UMNO mungkin terlupa untuk berkongsi hala tuju masa depan parti dan kaum Melayu yang lain dalam ucapan perasmiannya.
 
 
 
najib,malaysia


Saya bukan ahli UMNO. Ternyata bukan kerana saya menyokong pembangkang. Saya bukan ahli mana-mana parti pembangkang jua. Di sebalik pendirian saya tidak menyokong mana-mana parti, saya bukan ahli UMNO kerana saya bukan Melayu-Islam.

Tetapi sejak awal tahun ini, saya mula mengikuti rapat perkembangan parti politik Melayu, UMNO yang bakal menyambut ulangtahun ke-70 pada Mei tahun hadapan (2016). Sekali lagi bukan kerana obses dengan UMNO tetapi itu keperluan tugas hakiki saya selaku seorang penulis dan pembantu penyunting.

Walaupun baru berjinak, saya cukup ghairah melihat perkembangan politik dan sandiwara dalaman yang semakin hari semakin mengujakan, sehinggakan saya hilang minat pada parti politik terbesar kaum saya sendiri iaitu MIC.

Apa sahaja yang berlaku dalam MIC tak sampai 10 peratus pun daripada apa yang berlaku dalam UMNO. Jadi terdorong juga saya untuk mengikuti perkembangan UMNO hingga ke acara kemuncak pada hari ini: upacara perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang dirasmikan oleh presiden parti yang juga Perdana Menteri, Mr.Gentleman, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malangnya, sebagai sebuah parti yang memperjuang hak dan semangat Melayu, saya tidak melihat atau mendengar apa-apa tentang kaum Melayu, tetapi ia lebih kepada seorang Melayu bernama Najib. Atau mungkinkah cukup sekadar bercakap tentang seorang Melayu untuk mewakili semua yang lain?

Sepanjang-panjang ucapan rasmi Najib tidak lari ke mana kecuali berdampingan dengan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dengan turun naik suaranya yang penuh berirama dan dramatik, diselang-seli dengan rujukan surah al-Quran, speaking sana sini, tidak lupa juga mengingatkan semua akan darah Bugisnya, semua perkara yang dikongsikan dalam ucapan perasmian tidak menjurus kepada perancangan masa depan atau hala tuju parti untuk kaum Melayu di negara ini, sekadar memetik perkara yang sudah berlalu dan telah berlaku.

Daripada TPPA, BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan projek-projek Perumahan Mampu Milik serta kenaikan gaji minima dan juga kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam….

…kepada kutipan GST yang digambarkan sebagai penyelamat rakyat, beberapa projek seperti pembinaan pelantar gas di Laut Kaspia, pengurusan lapangan terbang antarabangsa kedua di Istanbul, pelaburan gas syal yang merupakan pelaburan langsung asing atau FDI terbesar di Kanada (yang baru pertama kali saya dengar)…

Penyediaan perkhidmatan kesihatan yakni IHH Healthcare Berhad sebagai yang kedua terbesar di dunia, serta penyelenggaraan fasiliti stesen dan pengendalian Mekah Metro segalanya dibawa sebagai hasil perjuangan UMNO. (Semuanya di luar negara?)….

Jadi, Datuk Seri, apakah rancangan baharu di dalam negara yang dibentangkan dalam ucapan kali ini?
Atau adakah saya yang tertinggal sesuatu di sini? Apakah berita baik yang dikongsi oleh Datuk Seri kepada kaum Melayu dan ahli UMNO dalam ucapan yang dinanti-nantikan sejal awal lagi?

Bercakap tentang sejarah Melayu, kisah anak nelayan menjadi menteri, kisah orang Melayu makan nasi dan lauk ikan kembung suatu masa dahulu, perjuangan UMNO memartabatkan UiTM, kisah UMNO mempertahankan Lahad Datu (?) dan banyak lagi perkara yang dikongsi, seolah-olah semuanya berkaitan dengan UMNO sahaja, maka apa yang Datuk Seri ada untuk masa depan Melayu?

Bukankah itu yang kita mahu tahu?

Tunggu punya tunggu, sampai ke akhir ucapan, saya tak jumpa apa-apa. Jadi saya tak dapat tulis apa-apapun dengan tajuk, ‘Najib menjanjikan …. untuk kaum Melayu’, ‘Melayu bakal ….. di bawah UMNO’, ‘PAU 2015 mahu lihat Melayu ……’ dan sebagainya.

Semua yang saya mampu tulis, apa yang anda baca di atas sahaja.

Tiada ulasan: