Isnin, 7 Disember 2015

Dakwah pilihan terbaik atasi gejala LGBT

 
Kewujudan golongan LGBT perlu diperakui supaya dakwah boleh dilaksanakan secara berterusan


dzulkifli-ahmad


PETALING JAYA: Pendekatan dakwah berterusan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah perlu bagi menangani penularan gejala itu, tegas Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (PAN), Dr Dzulkefly Ahmad.

“Hanya dengan mendekati mereka kita dapat terangkan apa yang salah dan apa yang dibenarkan.
“Pendirian inklusif Amanah menuntut kita bertemu dengan golongan itu. Kita tidak mengiktiraf (gaya hidup) mereka, tetapi menerima keberadaan mereka dalam masyarakat kita,” tegas beliau.

Laporan FMT pada 5 Disember lalu (Sabtu) telah salah memetik dan salah melapor kenyataan pemimpin kanan Amanah itu. Laporan bertajuk “Amanah sedia dekati LGBT” itu telah mengundang persepsi yang salah terhadap parti itu.

Beliau ditemui wartawan kami di forum Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan di ibu negara Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menolak sebarang bentuk kekerasan dan menegaskan hanya dakwah jalan yang paling sesuai untuk menangani kumpulan itu.

“Berikan dakwah. Itu peranan kita. Berikan pencerahan pada dia, berikan masa kepada dia supaya bertaubat,” kata beliau.

Beliau seterusnya memetik ayat Al-Quran yang menjanjikan hukuman neraka buat mana-mana golongan yang terus bergelumang dalam salahlaku.

FMT telah menghubungi Dr Dzulkefly untuk memohon maaf dan menyiarkan laporan ini sebagai pembetulan kepada kesilapan itu.

Beliau semasa memberi kenyataan kepada wartawan kami telah memberi amaran supaya jangan memutar kenyataan beliau.

Kesalahan di pihak kami amat dikesali.

Tiada ulasan: