GEORGE TOWN,  Polis Pulau Pinang merampas 199 botol cecair vape yang disyaki mengandungi dadah, dalam satu serbuan di sebuah premis, di Jalan Tanjung Tokong, petang semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Supt Guan Beng Kang berkata, dalam Ops Vapor itu, polis turut menahan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 24 tahun yang merupakan pemilik premis tersebut.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap lelaki itu pada pukul 5 petang dan merampas 199 botol cecair yang disyaki mengandungi dadah pelbagai jenama, dengan anggaran harga pasaran dadah bernilai RM12,000,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Guan bagaimanapun berkata, kandungan sebenar cecair tersebut masih dalam siasatan dan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Ini merupakan operasi pertama yang dilakukan dan pihak polis akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa, di semua premis jualan cecair vape di Pulau Pinang, berikutan ia kini menjadi satu trend yang semakin membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, cecair yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan itu, dipercayai dijual pada harga RM40 hingga RM80 sebotol, bergantung kepada saiz botol serta perisanya.

Guan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.