Sabtu, 12 Disember 2015

Cadangan beri BR1M RM500 setiap bulan, adakah wajar?

 
Cadangan Shahaniza itu baik kerana mahu membela nasib golongan tertentu tetapi ia tidak dikaji secara mendalam
 
 
 
Shahaniza-Shamsuddin_br1m_600


Perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang masuk hari ke empat semalam melihatkan para pembahas membawakan isu berkaitan rakyat.

Tidak kurang juga seperti perhimpunan-perhimpunan sebelum ini perkara-perkara yang berkaitan dengan kepimpinan parti Melayu itu turut menjadi perbincangan hangat para perwakilan.

Namun, sesuatu yang wajar dipuji ialah apabila wakil dari Pahang iaitu Datuk Shahaniza Shamsuddin membangkitkan isu kos kehidupan rakyat yang semakin meningkat terutama kesannya terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketika membangkitkan perkara itu, Shahaniza memberikan contoh dengan memasukkan elemen ekonomi yang berkait rapat dengan duit-duit poket rakyat marhaen yang tidak seberapa.

Tiba-tiba, terpacul daripada mulutnya satu cadangan agar kerajaan mengambil inisiatif memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada para penerima tetapnya pada jumlah sebanyak RM500 setiap bulan.

Bagi penerima BR1M, Shahaniza sudah pasti diangkat sebagai `hero’.

Jika dilihat dalam konteks yang lebih jauh, apa yang dicadangkan oleh Shahaniza itu seolah-olah mahu menjadikan penerima BR1M malas. Mereka tidak lagi perlu bekerja keras untuk menampung perbelanjaan kehidupan mereka. Bukankah apa yang diterima itu nanti dinamakan sebagai rezeki terpijak?

Kalau hendak diikutkan, langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan BR1M sebelum ini telah menjadi pertikaian hebat terutamanya oleh golongan kelas pertengahan.

Golongan kelas pertengahan hanya mampu menggigit jari, lebih-lebih lagi dalam situasi negara dihimpit isu ekonomi yang saban hari menjadi tajuk perbualan sama ada di kedai-kedai kopi mahupun di pejabat-pejabat.

Dalam hal ini, penulis berpendapat, Shahaniza memberikan cadangannya itu tanpa membuat kajian terlebih dahulu tentang apa yang hendak disampaikan.

Mungkin juga, skrip yang dibacakan pada perhimpunan itu telah siap sejak beberapa bulan lalu.

Dalam hal ini, ingin saya memetik tentang laporan kewangan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani pada 3 Disember lepas yang menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan kini mempunyai hutang sebanyak RM623.3 bilion setakat 30 September 2015.

Nah, jika hutang negara sudah sebanyak itu masakan kerajaan mempunyai wang lagi untuk diberi kepada rakyat (penerima BR1M) yang boleh dianggap sebagai bonus bulanan.

Justeru, penulis ingin memberikan pandangan kepada perwakilan yang ingin berbahas di pentas PAU agar memilih perkara-perkara yang hendak dibincangkan dengan membuat kajian terlebih dahulu.

Jangan hanya mereka membawakan sesuatu perkara yang nampak hebat sedangkan ia hanya akan menjadi bahan ejekan sama ada daripada pendengar di PAU itu sendiri ataupun dihangatkan lagi di media-media sosial.

Tidak perlu membuang masa setengah jam dengan memberikan pendapat yang mungkin akan dibakul sampahkan sahaja.

Tiada ulasan: