Khamis, 17 Disember 2015

Buruh binaan maut dihempap tembok runtuh

MALAYSIAKINI


Seorang buruh binaan warga Indonesia maut dipercayai dihempap tembok rumah ketika sedang melakukan kerja pembinaan di Taman Koperasi Cuepacs di Kajang petang semalam.

alam kejadian pada 3.25 petang itu, Saiful Samad, 38, dipercayai tertimbus sedalam kira-kira 1.5 meter setelah tembok konkrit rumah berkenaan tiba-tiba runtuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Abdul Ghani Mohamad Ji berkata mangsa sebelum itu terjatuh ke dalam sebuah longkang sebelum tertimbus.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang Mohd Safiq Mohd Moor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melihat kejadian itu pada 3.19 petang.

"Sejurus menerima panggilan saya segera mengerahkan tujuh anggota ke tempat kejadian bagi kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada 4.25 petang dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia," katanya.

Mohd Safiq berkata ketika kejadian mangsa dipercayai sedang melakukan kerja pembinaan seorang diri manakala punca kejadian tembok runtuh dipercayai akibat keretakan pada struktur tembok berkenaan.
Mayat ditemui

Sementara itu, di Alor Setar, mayat seorang wanita berusia 20-an dijumpai orang ramai dalam sungai di Kampung Kuala Rimau, Mukim Pusing, Pendang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang ASP Fadzil Hasim berkata, mayat berkenaan yang belum dikenal pasti identitinya dijumpai pada jam 4.20 petang dan dipercayai mati akibat lemas.

Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa, kata Fadzil dalam kenyataan.

Menurut beliau, pemeriksaan di sekitar tempat kejadian juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri dan jarak rumah terdekat dengan tempat mayat ialah empat kilometer.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Keretapi barang tergelincir

Manakala di Johor Bahru, keretapi barang milik Keretapi TanahMelayu (KTM) yang membawa 29 kontena muatan biji koko tergelincir dari landasan di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, hari ini menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu kira-kira sejam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Abd Samad Salleh berkata kejadian berlaku pada kira-kira 10.30 pagi semasa keretapi barang itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Pelabuhan Johor.

"Ini telah menyebabkan berlakunya halangan lalu lintas kira-kira sejam dari kedua-dua arah di Jalan Pekeliling," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pihak KTM telah dimaklumkan untuk mengalih serta menarik gerabak kontena dan polis trafik ditempatkan di lokasi kejadian untuk mengawal dan melencong lalu lintas.

Menurutnya, usaha mengalihkan gerabak kontena sepenuhnya dilakukan pada pukul 5.50 petang.

Beliau berkata tiada sebarang kemalangan jiwa terlibat dan polis masih memantau keadaan keselamatan dan kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.- Bernama


Tiada ulasan: