Ahad, 20 Disember 2015

Boleh ucap tapi tidak boleh sambut perayaan agama lain

 
Perpaduan antara Islam dan bukan Islam bukan berkongsi hari raya tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan dan tidak menzalimi antara satu sama lain.


Mohd-Asri_islam_600


PETALING JAYA: Umat Islam boleh mengucapkan ‘selamat hari raya’ kepada penganut agama lain yang menyambut perayaan mereka, kata Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau bagaimanapun berkata, ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah dan memadai sekadar ‘selamat hari raya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya.

“Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan perayaan agama lain. Sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hari raya kita.

“Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain,” katanya yang menjawab pertanyaan individu yang bertanyakan hukum membuat ucapan sempena perayaan bukan Islam di Facebook.

Asri berkata, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, umat Islam patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik tetapi dalam masa yang sama mesti menjaga benteng akidah.

Beliau berkata, faktor perubahan zaman dan persekitaran membuatkan sarjana Islam berbeza pendapat dalam isu ini.

Katanya, bagi sarjana moden yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

Tiada ulasan: