Mohd Najib berucap di PAU 2015 |
Jadi buat masa ini, perwakilan
ke Perhimpunan Agung Umno (PAU), ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua-ketua
Umno bahagian bolehlah menyokong dan mempertahankan Presiden mereka, (Datuk
Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, hingga ke titisan darah terakhir.
Tetapi sebelum nyawa politik
mereka tercabut dan mereka mungkin disumbat ke dalam penjara, eloklah mereka
pertimbangkan fakta-fakta berikut:-
Ketika PRU 2013
1. Akibat tsunami Cina (mengguna-pakai istilah ciptaan Mohd Najib sendiri) undi popular Umno/Barisan Nasional jatuh kepada 48 peratus dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
2. Ketika itu Tun Dr Mahathir
Mohamad masih menyokong kepemimpinan Mohd Najib dan turut berkempen menyokong Umno/BN.
3. Tun Daim Zainuddin juga
berkempen tetapi memberi amaran yang jentera pilihan raya BN lemah dan orang
bukan Bumiputera, khususnya Cina, tidak menyokong BN.
4. Skandal 1MDB, SRC
International/Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan duit derma/sedekah Arab sebanyak RM2.6
bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib belum terdedah.
5. Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) yang membebankan pengguna belum dilaksanakan dan ekonomi
berada dalam keadaan yang memuaskan.
6. Tetapi rakyat jelata sudah
mula merasa kesan kenaikan kos sara hidup akibat penghapusan berperingkat
subsidi mulai era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
7. Bagi mengambil hati pengundi,
manifesto BN, antara lain, berjanji tidak menaikkan tol lebuh raya malah akan mengurangkannya
secara berperingkat.
Menuju PRU 2018
1. Skandal 1MDB, SRC
International/KWAP dan duit RM2.6 bilion dalam akaun Mohd Najib telah meledak
dan menjadi skandal skala dunia.
2. Dr Mahathir, Daim serta ramai
lagi veteran Umno tidak lagi menyokong Mohd Najib malah mahu beliau berhenti.
3. GST yang diperkenalkan April
lalu menambah hasil kerajaan tetapi membebankan pengguna. Mohd Najib kata, GST
penyelamat kewangan negara. Menang benar. Bagi tahun ini, kerajaan menganggarkan kutipan
GST sebanyak RM21 bilion tapi dapat RM27 bilion. Tahun depan dijangka naik
kepada RM39 bilion.
4. GST, pemansuhan subsidi, kenaikan tol dan tambang pengangkutan awam, kejatuhan nilai ringgit,
pengangguran dan kemelesetan harga barangan utama sangat membebankan hidup
rakyat jelata.
5. Bala, ujian dan balasan
datang bertimpa-timpa – sebuah pesawat MAS hilang entah ke mana dan sebuah lagi
ditembak jatuh, banjir besar, gempa bumi maut, jerebu dan macam-macam
lagi.
Kesimpulannya, keadaan telah
banyak berubah ke arah keburukan selepas PRU.
Jadi, adakah sokongan pengundi
terhadap Umno/BN akan bertambah baik pada PRU akan datang berbanding PRU 2013?
Sudah dua PRU – 2008 dan 2013 -
sokongan terhadap BN merosot.
Adakah logik mengharapkan
sokongan kepada Umno/BN meningkat pada PRU akan datang dengan segala masalah
dan bebanan yang berpunca daripada salah urus, penyelewengan dan pembaziran
pentadbiran Mohd Najib?
Kalau Umno/BN kalah, tidak syak
lagi kerajaan baru akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan mengambil
tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab mensabotaj
ekonomi negara.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan