Khamis, 17 Disember 2015

BN Sarawak timbang semula kesetiaan jika Najib bersalah dalam skandal 1MDB

OLEH DESMOND DAVIDSON



Tan Sri Adenan Satem berkata Sarawak BN akan menimbang semula kesetian kepada perdana menteri jike beliau didapati bersalah dalam skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Disember, 2015. 
Tan Sri Adenan Satem berkata Sarawak BN akan menimbang semula kesetian kepada perdana menteri jike beliau didapati bersalah dalam skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menimbang semula kesetiaan mereka kepada Datuk Seri Najib Razak jika beliau didapati bersalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
"Saya mungkin akan mempertimbangkannya. (Tetapi) sehingga itu, beliau tidak bersalah dan tidak melakukan sebarang kesilapan.

"Kesetiaan kami kepadanya sekarang ialah kerana beliau perdana menteri Malaysia dan ketua BN," kata Adenan dalam ucapan penggulungannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching hari ini.

Adenan juga berkata, Najib setakat ini tidak pernah didapati bersalah dalam semua tuduhan berkaitan 1MDB yang dilemparkan terhadapnya. 
 
Beliau berkata demikian kepada wakil rakyat pembangkang yang menyamakan sokongannya kepada perdana menteri dengan perbuatan menyokong dasar perkauman dan agama Umno serta dakwaan peranan yang dimainkan Najib dalam syarikat sarat hutang itu, termasuk persoalan "derma" RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Beliau berkata, hanya DAP yang membuat segala tuduhan, tetapi tiada sebarang sabitan kesalahan setakat ini.

Beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Petaling Utara Tony Pua yang menimbulkan isu 1MDB.

Adenan kemudiannya bertanya ahli Parlimen pembangkang jika mereka bersedia menarik balik sokongan kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hanya berdasarkan tuduhan semata-mata.

Soalan itu serta-merta menerima tepukan yang kuat dari penyokong kerajaan BN.

Isu berkenaan sokongan ketua menteri terhadap Najib timbul apabila Ahli DUN Dudong Yap Hoi Liong mencelah Adenan semasa perbahasan di peringkat penggulungan.

Yap bertanya bagaimana Adenan boleh menghalang parti Umno daripada masuk ke negeri itu tetapi dalam masa sama masih menyokong presidennya.

Beliau juga mahu Adenan memberi jaminan yang Umno tidak akan memasuki negeri ini walaupun selepas beliau melepaskan jawatannya.

"Kami rakyat Sarawak menolak Umno sama sekali.

"Tetapi jaminan ini hanya terpakai semasa jangka hayat anda. Kami tidak boleh terima ketidakpastian yang sebegini," kata Yap.

Adenan berkata, jika Yap mahukan kepastian, Dewan boleh mengusulkan supaya undang-undang digubal bagi menghalang bukan sahaja Umno daripada datang ke negeri itu tetapi juga semua parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti DAP, PKR dan PAS.

Yap berdiam diri apabila Adenan bertanya kepadanya jika DAP boleh memberi jaminan yang mereka akan menyokong usul itu.

"Saya bersedia untuk tidak membenarkan mereka datang. Adakah anda bersedia (tidak membenarkan DAP datang)?" soal Adenan.


Tiada ulasan: