Ahad, 13 Disember 2015

BN 'merana' tanpa dua pertiga kerusi parlimen

Koh Jun Lin


 


BN kini merana tanpa dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, perkara tersebut menyebabkan pihaknya tidak dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan kawasan parlimen baru.

Ini bermakna jumlah kerusi parlimen adalah tidak selaras dengan pertumbuhan penduduk dan BN tidak dapat menyediakan kerusi yang mencukupi untuk parti komponennya.

"(Parlimen) kita hanya mempunyai 222 kerusi Parlimen,” katanya ketika berucap dalam mesyuarat agung tahunan parti komponen BN, myPPP hari ini.

Selain itu, timbalan perdana menteri itu berkata, perkara itu menjadikan ia sukar untuk "berkongsi kerusi baru" dengan parti myPPP.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berjanji untuk memperuntukkan myPPP satu kerusi parlimen jika BN memperoleh semula majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

"Tetapi anda perlu membuktikan kepada saya. Anda harus bekerja keras. Jangan lupa, kita perlu work smart untuk berjaya dalam usaha kita," katanya lagi.

Parti Progresif Rakyat itu kini telah dijenamakan semula dengan nama myPPP yang mana Tan Sri M Kayveas sebagai presidennya.

Tiada ulasan: