Rabu, 23 Disember 2015

Beberapa perkara Umno boleh laksana tanpa Pas

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 
 
SHAH ALAM – Umno sebagai pemangkin pentadbiran dan pengurusan kerajaan harus melaksanakan beberapa perkara sebagai langkah pertama memperbaiki nama Islam dan negara, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, imej Islam ini bukan perlu dibaiki pada gaya pakaian atau negara sebaliknya melibatkan penghayatan ajaran Islam dalam pelbagai bidang.

“Saya cadangkan kerajaan hapuskan GST. Cukai ini bertentangan dengan Islam kerana orang fakir miskin turut dipaksa bayar cukai. Kerajaan juga perlu mengurangkan pembaziran dan salahguna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama: Bukan soal wajar atau tak, soalnya bolehkah?]

“Kerajaan serta kementerian perlu kurangkan perbelanjaan dan hidup berjimat seperti yang terpaksa dilakukan rakyat dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga minyak dan juga kenaikan kos hidup yang semakin meruncing,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggesa Pas berfikir lebih daripada pertimbangan politik dalam mewujudkan kerjasama dengan Umno sekiranya mahu memartabatkan Islam.

Menurut Hishammuddin, perpaduan antara dua parti berkenaan disambut baik tetapi menolak dakwaan parti Melayu itu terlalu inginkan kerjasama tersebut, sebaliknya usaha berkenaan untuk kebaikan umat Islam di negara ini.

Tuan Ibrahim bagaimanapun menggariskan beberapa perkara yang boleh dilakukan Umno secara sendirian tanpa Pas jika parti itu ada kesungguhan selain daripada isu GST.

- Meminta Presiden Umno bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB.

- Mengurangkan pembaziran dan salahguna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

- Menyiasat Yapiem dengan telus dan terbuka dan memastikan mereka yang didapati menyeleweng dana Yapiem dibawa ke muka keadilan.

- Berhenti menganiaya Kelantan dan memulangkan royalti minyak dengan kadar segera.

“Semua perkara ini boleh dilakukan Umno tanpa Pas sebagai langkah Umno menunjukkan kepada rakyat, terutamanya mereka yang beragama Islam, kesungguhannya untuk mendaulatkan Islam.

“Pas pula akan meneruskan kerja dakwahnya agar rakyat dapat turut bersama memperjuangkan Islam sebagai Ad-deen dalam pentadbiran negara dan kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Tiada ulasan: