Rabu, 9 Disember 2015

Baru 2 hari beroperasi, Mara Digital dapat sambutan menggalakkan

 
Pengunjung yang hadir berpuas hari dan teruja dengan pembukaan Pusat IT itu.


mara


KUALA LUMPUR : Baru dua hari beroperasi, pembukaan Mara Digital mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung

Tinjauan Free Malaysia Today pada Rabu mendapati pengunjung yang hadir berpuas hati dan teruja dengan pembukaan Pusat IT terbabit.

Pengurus bangunan, Rashid Asmat, 43, berkata ini kerana pembukaan Pusat IT di aras tiga Busana di Menara Mara itu dikelilingi oleh pusat beli-belah lain antaranya Sogo dan Pertama Shopping Complex.

Menurutnya, ia memudahkan pengguna kerana mempunyai banyak pilihan dan ia juga terletak di kawasan yang strategik.

“Dari segi perbezaan, barang-barang di Plaza Low Yat adalah sukar untuk dipastikan yang mana satu asli dan yang mana satu tiruan, peniaga-peniaga di Plaza Low Yat juga hampir kebanyakannya adalah daripada Pakistan dan India dan di sana juga padat.

“Berbanding dengan Mara Digital ini, tidak ada peniaga dari kedua-dua negara dan tidak terlalu padat,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Pendapat itu turut diakui oleh seorang pengurus bank, Peter Lai, 50, yang menyatakan peniaga di Lowyat hampir kebanyakannya dikuasai oleh peniaga-peniaga asing.

Dia turut mencadangkan agar Mara Digital yang dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri pada Selasa agar menambah bilangan peniaga-peniaga bumiputera di Mara Digital.

Dalam pada itu, salah seorang peniaga Mara Digital, Muhammad Khairi, 30, menyatakan harga barangan teknologi maklumat (IT) di Mara Digital adalah sama dengan Plaza Low Yat.

Beliau yang turut berniaga di Low Yat menambah apa yang membezakan antara kedua-dua Pusat IT itu adalah di Plaza Low Yat mempunyai banyak pilihan lain.

“Di sini (Mara Digital) parking susah nak dapat,” jelasnya.

Mara Digital kini ditempatkan di aras tiga Busana di Menara Mara dan dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.

Diuruskan oleh syarikat WGN Scan Sdn Bhd, pusat itu menempatkan 11 kedai konsep, 20 kiosk, dua penyedia rangkaian internet, dan lima pengendali rangkaian telefon yang semuanya dimiliki kaum Melayu.

Tiada ulasan: