Isnin, 7 Disember 2015

Banjir Sungai Siput mula surut, 79 mangsa masih di pusat pemindahan

Nazialita Geynna Maharan, Astro Awani
 
Banjir Sungai Siput mula surut, 79 mangsa masih di pusat pemindahan
Seramai 79 mangsa banjir terdiri daripada 18 keluarga masih berada di pusat pemindahan di sekitar Sungai Siput berikutan kejadian banjir dari limpahan Sungai Pelus. - Foto Astro AWANI
 
 
SUNGAI SIPUT: Keadaan paras air banjir berikutan limpahan sungai di sekitar Sungai Siput dilaporkan bertambah baik dan menurun sejak malam Ahad.

Penolong Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Penolong Penguasa Bomba Hasrin Hasbi berkata buat masa ini seramai 79 mangsa yang terdiri daripada 18 keluarga masih lagi ditempatkan di pusat pemindahan.

Pada Ahad, dua buah pusat pemindahan di Sungai Siput iaitu di Dewan Orang Ramai Tok Sirat dan Dewan Orang Ramai Dato' Hj Fadil telah dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir.

Hasrin berkata, setakat ini anggotanya masih lagi dalam keadaan berkawal dan berjaga-jaga bagi sebarang kemungkinan sekiranya paras air akan meningkat pada sebelah petang Isnin.

"Paras air menurun berbanding dengan semalam iaitu 53.70 meter dan hari ini ianya adalah di ketinggian purata 0.3-0.5 meter sahaja.

"Mangsa-mangsa banjir berkemungkinan dibenarkan pulang ke rumah lewat petang ini sekiranya dilaporkan selamat namun buat masa ini mereka masih lagi diarahkan untuk berada di kedua-dua pusat pemindahan,"katanya kepada Astro AWANI pada pagi Isnin.
Jelasnya, dua kawasan yang terjejas berikutan limpahan air Sungai Pelus adalah di sekitar Sungai Siput dan Lintang dan pihaknya telah membuka dua pusat pemindahan sekitar 12.36 tengahari semalam. 
 
 

Tiada ulasan: