Ahad, 20 Disember 2015

Bagaimana bersama Islam hingga ke penghujung hayat?



Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


DALAM suasana hari ini Dyang penuh dengan pelbagai pancaroba, iaitu pada era ICT, teknologi maklumat, whatsapp, facebook dan sebagainya, bukan senang untuk mendapatkan muslim yang benar-benar sayangkan agamanya lebih daripada dirinya sendiri, ia juga bukan bererti sukar untuk mendapatkannya, namun keadaan yang menghukum diri muslim itu sedemikian.

Apapun, sebahagian besar daripada golongan muslimin terikut dengan rentak serta irama alunan dunia yang mengasyikkan, hingga lupa perjanjian mereka terhadap Allah selaku Pencipta, mereka terlibat dalam aktiviti yang melalaikan, memang itu pun yang disediaan buat mereka, bagi menguji sejauhmana ketahanan iman yang ada dalam diri ataupun sebaliknya.

Allah SWT menjelaskan dalam surah as-Syams ayat 7-10 yang bermaksud: “Demi diri (manusia) dan Yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan (Allah) kepadanya mana yang buruknya (yang membawa kepada kekejian) dan mana yang baiknya (yang membawa kepada takwa). Sesungguhnya telah berjaya orang yang membersihkan (jiwanya). Dan rugilah orang yang mengotorkannya.

Sesungguhnya manusia pada hari ini lebih cenderung kepada perkara yang membawa kepada kekejian dan mungkar, malah lebih cenderung untuk memperuntukkan masa yang tiada kaitan langsung dengan Allah dan persoalan hari akhirat.

Tetapi masa untuk Allah, agama dan kebaikan tiada dalam kamus kehidupan harian mereka, kalau adapun amat sedikit sekali, sebab hati sudah terikat dengan dunia dan isi-isinya.

Disebabkan golongan seumpama ini agak sukar untuk menghadirkan diri dalam majlismajlis ilmu, maka muhasabah kali ini menyediakan satu pendekatan bagi mereka untuk menuju jalan kehidupan muslim sebenar, malah menyediakan bekalan bagi memastikan agar penutup kepada kehidupan ini adalah yang terbaik (husnul Khotimah), kaedah atau pendekatan itu adalah seperti berikut:
 
1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.

2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.

3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.

4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang sukar untuk dilakukan.

5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah SWT.

6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil, ma’thurat dan zikir-zikir harian yang lain.

7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.

8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.

9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan, ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah SWT.

10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.

11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan sebelas rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.

12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah s.a.w, para Sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.

13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.

14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.

15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.

16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).

17. Tidak banyak beranganangan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.

18. Tidak mengejar kemasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.

19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.

20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan- Nya.

21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya- Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Tiada ulasan: