Isnin, 28 Disember 2015

Azmin hanya laksana ketetapan PKR

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya berpegang kepada ketetapan yang dibuat PKR sebelum ini  dengan mengekalkan kepimpinan Selangor dibawah Pakatan Rakyat.
 
Justeru Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata tidak timbul soal Azmin menggunakan kuasanya sebagai Menteri Besar Selangor untuk menentukan sama ada Selangor dibawah seliaan Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.
 
Abdullah turut menepis dakwaan bahawa kuasa Azmin lebih besar daripada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
"Presiden dan Timbalan sudah tentu Presiden lebih besar lagi berkuasa dan dalam perlembagaan dari segi 'strength of description' jawatan (presiden) daripada timbalan.
 
"Perkara itu tidak betul. Itu adalah tanggapan orang Umno terhadap Azmin," jelasnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Abdullah berkata demikian mengulas pandangan pengarang kanan akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa Azmin mempunyai kuasa yang lebih besar daripada Azizah.
 
Melalui ruangan rencana dalam edisi Mingguan Malaysia semalam, Zulkefli Hamzah turut meramal kononnya Azmin tidak mustahil untuk mengkhianati partinya dan membentuk kerajaan negeri bersama PAS dan Umno.
 
"DAP, apatah lagi PKR dan Dr Wan Azizah, sebenarnya tidak berani untuk terus menekan Azmin.
 
"Timbalan presiden PKR yang dikelompokkan dalam satu kem lain dalam parti milik Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memegang kuasa.
 
"Kuasa itu lebih besar daripada presiden PKR mahupun penasihatnya yang kini bermastautin di Sungai Buloh," kata pengarang itu merujuk Anwar yang kini di Penjara Sungai Buloh.
 
Mengulas lanjut, Abdullah berkata Selangor akan kekal dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang, demi menjaga amanah yang diberikan pengundi sebelum ini.
 
"Itu strategi pentadbiran, tidak lebih daripada itu dan ia hanya pandangan orang Umno tapi saya yakin parti mengambil langkah yang jelas dengan apa yang ada hari ini. 
 
"Itu dia punya langkah untuk pentadbiran negeri sebab pandangan dia itu ketika kita dapat kuasa daripada rakyat ketika itu adalah Pakatan Rakyat," katanya.
 
Pun begitu menurut Abdullah, Pakatan Harapan termasuk di Selangor giat menjayakan program mereka sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
 
"Kita bentuk Pakatan Harapan baru lagi jadi sekarang ini kita tengah menggerakkan kita punya kekuatan pada Pakatan harapan.
 
"Jadi untuk kita katakan di Selangor ini, kita terbuka. Jika PAS hendak keluar kita tidak boleh paksa itu hak mereka jadi kita bersedia dengan sebarang kemungkinan.
 
"Sebab itu kita di Selangor tidak gusar sebab kita sekarang ini buat program Pakatan Harapan ini berterusan sebab kita tidak boleh pandang ke belakang lagi kita kena ke hadapan,"ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: